Monday 29 August 2011

Ujian darah awal kehamilan

Jika rhesus darah ibu tidak sama dengan janin, beberapa masalah akan berlaku antaranya komplikasi pada bayi

MEMAHAMI komplikasi dan alahan sepanjang kehamilan mungkin tidak terlalu sukar buat bakal ibu, suami, ahli keluarga dan rakan, tetapi apabila timbul isu perbezaan rhesus darah (Rh - faktor resus) antara si ibu dan anak, tidak ramai yang tahu jauh sekali memahaminya.
Mungkin sebahagian daripada puncanya kerana komplikasi perbezaan faktor Rh jarang berlaku. Ini kerana hampir 90 peratus perempuan Asia memiliki Rh positif, manakala hanya dua peratus perempuan Melayu dikesan memiliki Rh negatif.
Umumnya faktor Rh yang berbeza antara ibu dan anak dalam kandungan tidak menjadi persoalan untuk kehamilan yang pertama. Bagaimanapun apabila ibu hamil kali kedua atau ketiga dan seterusnya, perbezaan faktor Rh mula mendatangkan komplikasi kepada bayi, contohnya masalah kekurangan darah (anemia) yang teruk.

Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan, Prof Madya Dr Shah Reza Johan Noor, berkata faktor rhesus merujuk protein khusus yang ditemui pada permukaan sel darah merah.

Jika darah anda memiliki protein, anda dikategorikan sebagai Rh positif - iaitu faktor rhesus yang sangat biasa ditemui dan jika permukaan darah kurang protein, anda dikategorikan sebagai Rh negatif. Walaupun faktor Rh tidak mengganggu kesihatan, ia menjejaskan kehamilan.

“Bagi wanita yang memiliki Rh negatif, manakala suami pula Rh positif, kehamilan memerlukan penjagaan yang khusus,” katanya.
Jelas Dr Shah Reza, jika ibu memiliki faktor Rh yang berbeza dengan anak dalam kandungan, antibodinya akan mengenal pasti protein Rh pada si anak sebagai ‘bendasing’ dan masuk ke dalam sistem aliran darah anak serta menyerangnya. Ini akan menyebabkan bengkak dan kemusnahan pada sel darah merah.

“Bakal ibu sepatutnya tahu bukan saja jenis darahnya tetapi faktor Rh darah itu. Secara umum, apabila anda hamil buat pertama kali, doktor akan menyarankan ujian faktor Rh. Ujian faktor Rh ini adalah ujian asas darah untuk mengetahui sama ada anda Rh positif atau negatif,” katanya.

Katanya lagi, faktor Rh penting sekiranya ibu hamil tidak mempunyai faktor terbabit tetapi suami pula mempunyai faktor Rh, berkemungkinan anak dalam kandungan juga akan memiliki faktor Rh positif. Kehadiran rhesus positif pada janin akan mencetuskan pembentukan antibodi oleh badan ibu.

Ketika proses melahirkan, sesetengah sel darah merah bayi akan bercampur dengan darah ibu. Masalah berlaku jika ibu memiliki Rh negatif dan bayi Rh positif. Tubuh akan menghasilkan antibodi Rh selepas terdedah kepada sel darah merah bayi.

Antibodi ini selalunya tidak mendatangkan masalah pada kehamilan pertama, namun untuk kehamilan seterusnya, antibodi Rh ibu akan menjejaskan plasenta dan menyerang sel darah merah si anak. Anak akan berhadapan penyakit berkaitan Rh seperti masalah kurang darah atau masalah serius lain.

Jika anda Rh negatif, mungkin memerlukan imbasan antibodi bagi mengesan antibodi terhadap darah Rh positif. Andai tiada antibodi dihasilkan, anda memerlukan suntikan Rh imun globulin (suntikan yang mengandungi antibodi dalam darah) bagi mencegah tubuh menghasilkan antibodi ketika hamil.

“Jika bayi anda Rh negatif, semua ini tidak diperlukan. Namun jika dia Rh positif, anda memerlukan suntikan lain sebaik bayi dilahirkan,” katanya.

Jelas Dr Shah Reza, apa yang dibimbangkan ialah jika isteri mempunyai Rh negatif dan suami pula Rh positif. Oleh kerana bayi adalah gabungan baka ayah dan ibu, badan ibu akan menghasilkan antibodi untuk ‘menolak’ bayi yang dianggap sebagai bahan asing, membolehkan ibu mengalami pendarahan sama ada sebelum atau selepas melahirkan anak.

Sistem darah ibu hamil akan mengenali sistem darah anak sebagai sistem asing dan seterusnya mencetuskan pembentukan antibodi yang akan melawan sel darah janin dan juga anak sejurus kelahiran. Akibatnya darah anak rosak serta berlaku pendarahan semasa dalam kandungan atau selepas kelahiran. Janin dalam kandungan juga mungkin gagal diselamatkan.

Sebab itulah pemeriksaan ultrasound penting semasa mengandung. Selepas kelahiran, ujian darah dilakukan pada anak.

“Menjadi amalan di Malaysia kumpulan darah serta faktor Rh ibu akan dikenal pasti semasa mereka hadir untuk pemeriksaan pertama kandungan,” katanya.

Mujur di negara kita, masalah rhesus darah bukan masalah kesihatan yang lazim dalam kalangan wanita hamil, namun ia tetap disaring serta dipantau kerana memberi kesan kepada kandungan dan juga anak yang baru dilahirkan. Penyaringan pada peringkat awal juga dibuat kerana sebarang masalah boleh diatasi pada peringkat awal pengesanan.

Jika pada peringkat awal kehamilan, si ibu dikesan berhadapan faktor Rh negatif, dia akan dipanggil untuk penyiasatan, runding cara lanjutan dan diberikan suntikan.

“Sekiranya suami mempunyai rhesus positif dan isteri rhesus negatif, kandungan pula kandungan sulung, maka pada minggu ke-28 kehamilan, ibu akan disuntik dengan ubat RhoGAM (anti D immunoglobulin).

“Jika ibu hamil untuk kali kedua dan semasa kandungan sulungnya tidak diketahui status rhesus atau tidak mendapat suntikan anti D, darahnya akan diambil dan diuji untuk kehadiran antibodi D, Anti D immunoglobulin tidak lagi diberikan. Ibu hamil itu akan diklasifikasi sebagai pesakit berisiko tinggi dan dipantau lebih teliti,” katanya.

Sebaik-baiknya jenis darah serta rhesus suami isteri perlu diketahui sebelum kehamilan. Sekiranya si isteri mempunyai rhesus negatif, perlu segera memberitahu doktor yang merawat terutama jika pernah berhadapan dengan masalah seperti berikut:

  • Pernah menerima transfusi darah.



  • Kandungan sebelum ini gagal seperti keguguran atau di luar rahim.



  • Pernah disuntik rhoGAM.



  • Rhesus darah suami positif.



  • Mendapat rawatan invasif perbidanan.


  • Oleh Hafizah Iszahanid
    Sumber Berita Harian 2011

    Bau badan busuk

    MASALAH ketiak dan kaki berbau memang merisaukan. Lebih memalukan apabila ia mengganggu orang lain. Hakikatnya semua orang punya bau badan yang tersendiri kerana ia berpunca daripada proses perpeluhan. Berpeluh adalah sebahagian daripada proses tubuh dan kita perlu faham mengapa tubuh menghasilkan peluh.
    Ada dua jenis kelenjar menghasilkan peluh, pertama kelenjar Eccrine dan kedua kelenjar Apocrine.
    Kelenjar Eccrine bertanggungjawab terhadap proses berpeluh di mana ia bersambung terus hingga permukaan kulit untuk menghasilkan peluh. Ia bertujuan mengawal suhu badan selain membuang bahan-bahan buangan seperti urea, sodium, kalsium atau elektrolit.

    Pakar Perubatan dan Dermatologi Pusat Perubatan Darul Ehsan, Dr Noraziah Abd Kadir Jailani, menjelaskan peluh melalui kelenjar Eccrine sifatnya tulen, jernih seperti air dan tidak menghasilkan bau kerana akan terus keluar ke permukaan kulit dan meluap.

    Kelenjar Apocrine pula merembeskan cecair yang lebih likat dan agak keruh serta menimbulkan masalah jika ia lebih banyak dari kelenjar Eccrine.

    Kelenjar Apocrine ada pada bahagian tubuh yang banyak folikel rambut seperti ketiak serta tempat sulit seperti kemaluan. Kelenjar ini mengandungi sebum, bahan berlemak di mana peluh dirembeskan. Sebum pula bahan organik yang tersimpan dalam kelenjar Apocrine.
    Di sini lebih mudah untuk bakteria memecah masuk protein dalam rembesan peluh, tidak seperti kelenjar Eccrine. Apabila protin dipecah masuk dalam peluh oleh bakteria, ketiak atau kaki akan mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.

    Punca bau badan boleh disebabkan bahan buangan terkumpul dalam badan akibat proses pencernaan tidak sempurna. Pengambilan pelbagai jenis makanan, majoritinya digunakan untuk tubuh sementara selebihnya ditukar ke dalam bentuk sisa buangan atau toksin. Toksin ini disingkirkan sekiranya ginjal, hati dan saluran penghadaman usus berfungsi dengan baik.

    Atas sebab tertentu seperti sembelit, sekiranya sistem pencernaan tubuh tidak berfungsi dengan betul, toksin ini boleh kekal dalam tubuh. Individu yang punya masalah ini dan makan banyak daging, telur, ikan dan kekacang khususnya akan mempunyai bau badan yang busuk. Makanan ini mengandungi banyak Choline yang tidak mudah melalui proses metabolisme.

    Banyak minum kopi atau minuman berkafein dan makanan berempah yang mengandungi bawang dan bawang putih juga berpotensi menyebabkan bau pada ketiak, tidak kira lelaki atau wanita.

    Punca lain bau badan termasuk masalah ginjal, hati, hypoglycemia (kurang gula dalam darah), jangkitan kuman, kencing manis dan tiroid. Ia dikesan apabila individu yang pada mulanya tidak punya masalah bau, tiba-tiba mengalami perubahan bau badan yang mengganggu. Bau badan juga disebabkan oleh faktor genetik dan kelenjar yang sangat aktif.

    Punca kaki berbau tidak banyak beza dengan bau badan. Selain kaki yang kuat berpeluh, bau kaki juga disebabkan memakai kasut atau sarung kaki yang tiada pengalihan udara sempurna dalam tempoh yang lama. Memandangkan kaki manusia dilitupi kelenjar peluh tebal, peluh pada kaki boleh bercampur dengan bakteria pada permukaan dan menghasilkan bau.

    Bulu pada kaki terutama pada ibu jari mampu menyumbang kepada bau yang lebih pekat dengan menambah jumlah permukaan di mana bakteria boleh membiak. Bau kaki boleh dirawat dengan memilih kasut terbuka dan stokin dari bahan semula jadi seperti kapas dan bulu biri-biri.

    Pastikan kaki sentiasa kering, guna talkum untuk kaki, jangan guna kasut yang sama dan elakkan tekanan emosi dengan melakukan senaman meditasi seperti yoga.

    Antara cara merawat dan mengawal masalah bau ketiak pula ialah penggunaan cecair pencuci mengandungi 3 peratus hidrogen peroksida, menyembur pewangi dan penyembur anti peluh. Jika terlalu serius, pembedahan membuang kelenjar Apocrine pada tempat bermasalah boleh dilakukan selain laser serta suntikan botox.

    Info: Cara mengawal bau badan


  • Kerap mandi




  • Pilih pakaian fabrik kapas dan longgar





  • Elak pengambilan makanan tinggi choline (bawang putih, daging, rempah, kafein dan kekacang)






  • Berhenti merokok.




  • Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011

    Maut seawal 24 jam

    Meningokokal mudah tersebar di kawasan ramai, dihidapi individu sihat

    ANDA bangun pagi dan mengalami lenguh tengkuk, selesema selain ruam pada permukaan kulit. Anda panik dan segera ke klinik, apatah lagi selepas menyedari berada di kawasan yang dikunjungi ramai, malam tadi.
    Doktor kemudian mengesahkan anda mengalami penyakit meningokokal akibat bakteria meningitis bakteria. Namun apakah sebenarnya penyakit ini? Ia adalah jangkitan pada membran yang menyelaputi otak dan tulang belakang dan sepsis - sejenis jangkitan saluran darah.
    Hakikatnya, di sebalik nama meningokokal yang sememangnya jarang didengari, kesannya juga amat menggerunkan - jangkitannya boleh membawa maut dalam tempoh 24 - 48 jam!

    Malah, hampir semua, termasuk mereka yang sihat juga berisiko menghidapnya kerana bakteria ini mudah tersebar di kawasan atau persekitaran sesak dengan pelancong, menunaikan ibadat umrah atau haji selain mereka yang mengunjungi pusat hiburan dan konsert.

    Statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menunjukkan dianggarkan 500,000 kes penyakit meningokokal berlaku dengan sekitar 50,000 kematian, setiap tahun. Ini menjadikan secara purata, satu daripada tujuh pesakit yang menghidap penyakit meningokokal maut akibatnya!

    Lebih menakutkan, ada pesakit yang terselamat pula menderita kesan sampingan serius akibat meningokokal, termasuk kehilangan anggota badan yang terpaksa dipotong.
    Sifatnya sukar diramal kerana kumpulan bakteria yang dominan yang menyebabkan penyakit ini berbeza mengikut negara dan rantau serta berubah mengikut masa. Inilah sebabnya WHO menyatakan bahawa salah satu dari cara yang berkesan untuk mencegah penyakit meningokokal adalah dengan vaksin yang memberikan perlindungan terhadap sebanyak mana kumpulan bakteria yang boleh.

    Kebanyakan kes penyakit meningokokal berlaku pada individu yang sihat tanpa sebarang amaran awal. Walaupun dengan perubahan kecil dalam gaya hidup seperti kunjungan ke kelab-kelab malam, melancong merokok, memasuki kolej atau tugasan ketenteraan boleh meningkatkan kemungkinan menjadi pembawa bakteria meningokokal atau meningokokus dan mendedahkan seseorang kepada penyakit itu.

    Perunding Kanan Mikrobiologi, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Datin Dr Che Ilina Che Isahak, berkata, memandangkan sifatnya yang sukar diramal menyaksikan WHO menegaskan bahawa salah satu cara berkesan untuk mencegah penyakit meningokokal adalah dengan memilih satu vaksin yang mampu memberikan perlindungan maksimum.

    “Ringkasnya, perlindungan itu sebagai perlindungan kepada sebanyak mungkin kumpulan bakteria seperti Vaksin Konjugat kuadrivalen bagi membantu mencegah penyakit meningokokal,” katanya.

    Menurut Prof Ilina, 26,000 rakyat Malaysia mengerjakan haji saban tahun ditambah pula lebih 80,000 rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah sepanjang tahun menjadikan kelompok ini antara yang paling berisiko kerana dalam keadaan bersesak bagi satu jangkamasa berlanjutan, sekali gus membolehkan bakteria merebak dari individu ke individu.

    Keadaan lebih berisiko ketika musim haji apabila lebih 2 juta jemaah dari seluruh dunia akan berkumpul di Makkah.

    “Merebaknya wabak penyakit meningokokal yang berleluasa di kalangan jemaah menyebabkan pihak berkuasa Arab Saudi memperkenalkan pelalian mandatori di mana semua jemaah mesti diberikan vaksin kuadrivalen mengingokokal,” katanya.

    Ancaman penyakit itu menyaksikan syarikat Novartis Corporation (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan vaksin Menveo, baru-baru ini, bagi melindungi manusia daripada empat kumpulan bakteria meningokokus yang boleh dicegah oleh vaksin. Ia boleh digunakan remaja berusia 11 tahun hinggalah orang dewasa.

    Menurut Pengarah Perubatan Novartis Corporation, Dr Adelina Cheong, vaksin itu penting kerana gejala awal penyakit meningokokal mungkin tidak begitu tepat.

    “Ia sukar diramal dan seakan-akan selsema yang menyebabkan pengamal perubatan profesional payah memberikan diagnosis awal. Gejala atau simptom lazim seperti lenguh tengkuk dan ruam pada permukaan kulit (bintik-bintik merah atau ungu pada kulit) tidak muncul sehingga penyakit itu semakin runcing iaitu 13 hingga 22 jam selepas gejala pertama muncul.

    INFO: Ancaman meningokokal




  • WHO dan beberapa kerajaan pusat mengesyorkan penggunaan pelalian meningokokal untuk mereka yang dianggap berisiko tinggi untuk mengidap penyakit meningokokal seperti remaja, pelancong yang pernah ke lokasi penyakit ini boleh merebak, anggota tentera dan jemaah yang mengerjakan haji atau umrah.



  • Bayi paling mudah terdedah.



  • Dianggarkan lebih kurang enam peratus kanak-kanak berusia 12 bulan ke bawah yang menghidap penyakit meningokokal, maut.



  • Satu daripada lima bekas pesakit meningokokal menderita kesan sampingan serius dan kekal termasuk anggota badan dipotong, sawan, lumpuh, hilang pendengaran.





  • Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011

    Tanda barah prostat?

    Lelaki botak usia 20-an dikatakan petunjuk awal risiko kanser

    MASALAH rambut gugur sememangnya merunsingkan. Lebih mencemaskan lagi apabila masalah yang dianggap alah bisa tegal biasa dalam kalangan lelaki ini sebaliknya turut dikaitkan dengan penyakit lebih serius iaitu kanser prostat.
    Inilah hasil kajian terbaru sekumpulan penyelidik Perancis diketuai Dr Philippe Giraud, penyelidik Hospital European Georges Pompidon di Paris. Kajian sejak 2004 dengan proses analisisnya memakan masa dua tahun, mendakwa lelaki yang mengidap kanser prostat, adalah dua kali ganda berkemungkinan menunjukkan tanda-tanda keguguran rambut atau botak seawal usia 20-an berbanding mereka yang tidak mengidap masalah itu.
    “Kajian mendapati, lelaki yang mula gugur rambutnya pada usia 30-an atau 40-an, tidak berdepan risiko kanser prostat sebaliknya mereka yang mula keguguran rambut pada usia 20-an mengalami risiko lebih tinggi mengidap kanser pada awal usia atau mengalami tumor yang lebih agresif.

    “Rambut gugur yang dikaitkan dengan masalah androgen juga ada kena mengena dengan kanser prostat,” katanya dalam kenyataan media yang dipetik Persatuan Perubatan Onkologi Eropah, baru-baru ini.

    Dr Giraud berkata, biarpun sehingga kini tiada bukti kukuh menunjukkan manfaat proses saringan terhadap orang awam bagi mengesan kanser prostat, penyelidik perlukan cara berkesan bagi mengenal pasti lelaki yang berisiko tinggi menghidap penyakit barah berkenaan.

    Sehubungan itu, beliau dan rakan penyelidik akan membuat lebih banyak kajian lanjut bagi melihat sama ada campur tangan kaedah rawatan mungkin bersesuaian bagi lelaki yang mengalami botak pada usia muda.
    “Pakar perubatan perlu tahu siapa sasaran saringan dan dipertimbangkan untuk pencegahan kemoterapi.

    “Botak pada usia 20-an mungkin boleh jadi faktor risiko paling mudah untuk mengesan masalah ini, begitupun banyak lagi kajian perlu dilakukan untuk mengesahkan penemuan ini,” katanya yang juga Profesor bidang radiasi onkologi Universiti Descartes Paris.

    Menerusi kajian itu, kumpulan penyelidik itu menyedari corak botak lelaki (androgenic alopecia) sangat biasa berlaku dan dialami separuh dari keseluruhan lelaki pada satu peringkat dalam kehidupan mereka. Sebelum ini, pencetus penyakit ini dikaitkan dengan perubahan testosterone kepada hormon androgenic.

    Bagi memeriksa dengan teliti kemungkinan hubungan antara corak rambut botak dengan kanser prostat, pasukan penyelidik Perancis mengambil masa dua tahun menganalisa perkembangan penyakit dan corak keguguran rambut terhadap 388 lelaki yang mengalami kanser prostat berusia antara 46 hingga 84 tahun.

    Bermula pada 2004, penyelidik meminta mereka menunjukkan sama ada pernah mengalami masalah botak sebelum ini, bila masalah rambut gugur bermula dan secara khusus jenis rambut gugur yang berlaku ketika berusia 20, 30 dan 40 tahun.

    Kajian mendapati 37 pesakit kanser prostat (dan 14 lelaki sihat) mengalami beberapa bentuk keguguran rambut pada usia 20 tahun, seperti penyusutan rambut di dahi kepada botak bertompok di atas kepala atau kombinasi kedua-duanya. Dalam kajian itu sebarang bentuk keguguran rambut pada usia 20 tahun dikaitkan dengan bergandanya risiko kanser prostat, yang mana tanpa corak khusus keguguran rambut menjadikannya risiko yang lebih mudah dijangka berbanding risiko lain.

    Biarpun pasukan penyelidik enggan membuat kesimpulan bahawa masalah botak dan kanser prostat saling berkaitan, seorang lagi pakar Amerika Syarikat iaitu Dr Nelson Neal Stone, Profesor Klinikal Urologi dan Radiasi Oncology di Mount Sinai School of Medicine, New York City bersetuju bahawa hasil kajian berkenaan boleh dipertimbangkan.

    “Kita juga sedar wujudnya faktor genetik yang menjadikan kanser prostat lebih tersebar luas. Sebagai contoh, lelaki yang ada kaitan persaudaraan seperti bapa saudara, bapa atau abang yang disahkan kanser prostat adalah 2.5 hingga tiga kali lebih berisiko alami barah prostat berbanding lelaki tanpa sejarah keturunan. Genetik juga memainkan peranan kepada lelaki yang mengalami rambut gugur pada usia muda,” katanya.

    INFO: Barah prostat



  • Turut digelar penyakit orang tua kerana lambat merebak




  • Kira-kira 90 peratus dari sel barah ini merebak ke tulang selain kawasan lain termasuk pundi kencing.




  • Isi padu ketumbuhan ini berlipat ganda setiap 4 tahun.





  • Penduduk di California, Amerika Syarikat adalah 100 kali lebih ramai dijangkiti barah ini berbanding penduduk Cina di Shanghai






  • Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011

    Kaitan sakit ginjal, jantung

    10 Mac, adalah Hari Ginjal Sedunia. Malangnya, tidak ramai yang menyedari tarikh yang menjadi sebahagian kempen kesedaran peri pentingnya organ utama itu kecuali individu itu adalah penghidap atau mempunyai rakan atau ahli keluarga yang menghidap penyakit ginjal atau buah pinggang berkenaan.

    Namun berbanding penyakit kronik lain, hakikatnya masih ada harapan bagi pesakit ginjal atau buah pinggang ini untuk meneruskan kehidupan. Ini kerana, apabila seseorang itu mengalami kegagalan buah pinggang, pilihan rawatan yang boleh dijalani termasuk haemodialisis, peritoneal dialisis dan pemindahan ginjal.
    Bagaimanapun, majoriti kes menyaksikan pesakit memilih untuk menjalani haemodialisis kerana pusat dialisis seumpamanya mudah didapati selain kos rawatannya yang tidak terlalu tinggi.
    Sebelum ini, rawatan haemodialisis yang standard adalah empat jam tiga kali seminggu, bagaimanapun keadaan pesakit kini lebih berbeza kerana ada yang turut menghidap penyakit sampingan seperti masalah jantung.

    Malah, bagi pesakit yang menerima rawatan dialisis, kegagalan fungsi buah pinggang turut menjadi penyebab utama penyakit jantung jika dialisis yang diterima tidak mencukupi. Atas kesedaran serta kaitan antara ginjal dan jantung, sambutan Hari Ginjal Sedunia tahun ini bertemakan ‘Lindungi Ginjal, Selamatkan Jantung.’

    Perlu diingat, kehadiran penyakit jantung itu hanya merumitkan lagi proses rawatan dialisis kerana haemodialisis (HD) konvensional tidak lagi selamat atau sesuai. HD boleh menyebabkan sakit dada, tekanan darah rendah atau serangan jantung sama seperti kesan apabila berlari menaiki tangga.

    Di sinilah, keperluan perlu diubahsuai mengikut kesesuaian dan apakah pilihan dialisis yang ada bagi pesakit jantung disebabkan oleh kekurangan dialisis.
    Ketua Jabatan Nefrologi dan Khidmat Pemindahan Ginjal Pusat Perubatan Prince Court, Datuk Dr Tan Si Yen, berkata HD konvensional sudah mencapai tahap maju dan selamat namun masih tidak sesuai untuk pesakit jantung kerana rawatan ini yang dijalankan ke atas pesakit jantung akan memberi kesan tekanan rendah atau serangan jantung.

    “Atas dasar itu HD konvensional diubahsuai bagi memastikan dialisis yang diterima mencukupi bagi mengurangkan risiko sakit jantung dan mengelakkan tekanan berlebihan pada jantung, ini boleh dilakukan dengan menjadikan rawatan dialisis lebih menyerupai fungsi buah pinggang sebenar,” katanya, ketika ditemui baru-baru ini.

    Hemodiafiltrasi (HDF) adalah alternatif kepada kaedah konvensional dengan penambahan sejenis komponen penapis khusus. Penapis khas yang berfungsi seperti ginjal ini membolehkan rawatan HDF lebih diterima jantung. Biarpun cukup popular di negara maju, kosnya yang tinggi sukar didapati di negara membangun.

    Dengan kos dua kali ganda lebih tinggi berbanding HD konvensional, ia turut memerlukan mesin hemodialisis yang lebih berteknologi tinggi di samping perlu menggunakan bekalan air osmosis berbalik (RO Water) berkualiti tinggi.

    Alternatif lain adalah HD nokturnal (dialisis waktu malam) harian yang mana pesakit akan menjalani dialisis selama lapan jam sepanjang malam selama enam hari. Dengan tempoh dialisis lebih panjang, kadar aliran darah boleh menjadi serendah 150 mililiter seminit dan kadar aliran cecair lebih rendah yang boleh mengurangkan tekanan ke atas jantung.

    Jelas Dr Tan, kestabilan tekanan darah adalah salah satu elemen penting HD nokturnal terutama kepada pesakit yang mengalami masalah jantung.

    “Tempoh dialisis yang lebih lama menjadikannya lebih efektif dan kebanyakan pesakit tidak perlu lagi mengambil ubat antihipertensi, ubat menurunkan kolesterol dan bagi mengawal tahap haemoglobin kerana hanya dos rendah erythropoietin diperlukan. Pesakit juga mendapat manfaat dari segi nutrisi kerana rawatan dialisis ini lebih berkesan.

    “Malah, risiko kemasukan wad akibat jangkitan mahupun komplikasi penyakit jantung juga berkurangan. Aktiviti harian pesakit juga tidak lagi terganggu terutama pesakit yang bekerja mahupun yang masih belajar. Dengan itu kualiti hidup pesakit dapat diperbaiki seiring dengan meningkatnya mutu perawatan klinikal,” katanya.

    Walau bagaimanapun, faktor kekangan utama adalah kos dan kekurangan peralatan berkaitan. Selain kos perubatan ia juga perlu ekonomikal dari segi logistik memandangkan pesakit perlu bermalam di hospital.

    “Justeru, sebagai hospital pertama di Malaysia yang memiliki peralatan ini biarpun jumlah penggunanya masih kecil, kami percaya ia menjadi batu loncatan kepada pelbagai lagi rawatan dialisis yang boleh ditawarkan kepada lebih ramai lagi pesakit warga tempatan.” katanya.

    Masih tunggu derma buah pinggang

    REMAJA comel, Chin Xian Tong, 14, terpaksa akur dengan nasib yang tersurat baginya sejak disahkan mengidap masalah kegagalan ginjal dan jantung beberapa tahun lalu.

    Bukan saja tidak dapat menjalani kehidupan normal yang aktif seperti remaja lain, hampir setiap malam dia terpaksa menjadi penginap setia Pusat Perubatan Prince Court, Jalan Kia Peng, di ibu negara, bagi menjalani rawatan dialisis nokturnal untuk memastikan kelangsungan hidupnya.

    Alah bisa tegal biasa, sejak lima bulan lalu, pelajar Sekolah Menengah Puteri Ampang ini akan dihantar bapa, nenek atau kadangkala datang sendiri untuk menjalani rawatan dialisis nokturnal yang bermula dari jam 10 malam hingga 6 pagi keesokan harinya.

    “Biasanya sebelum ke hospital saya akan pastikan semua kerja rumah dan tugasan yang perlu disiapkan lebih awal di rumah. Hanya itu saja masa yang ada untuk bermain dengan adik lelaki, bersembang dan meluahkan perasaan dengan anggota keluarga,” katanya yang sebelum ini mendapatkan rawatan di beberapa hospital lain.

    Selepas lima bulan mendapat rawatan di situ, anak sulung dua beradik ini mengakui keadaan kesihatannya secara keseluruhan bertambah baik. Malah aktiviti persekolahan juga menjadi lebih teratur berbanding sebelumnya.

    “Dulu saya tidak dapat menumpukan perhatian dan sering ketinggalan dalam sukatan pembelajaran kerana sesi rawatan dialisis yang dijalankan tidak menentu dan sering bertembung dengan waktu persekolahan.

    “Kini bukan saja waktu persekolahan terurus, malah saya merasa lebih sihat, segar dan berat badan juga semakin bertambah,” jelasnya yang hanya boleh minum 1.5 liter air dan mengelak makan durian, anggur, belimbing dan kentang.

    Chin juga berterima kasih kepada ibu bapa, keluarga, rakan-rakan dan guru-guru di sekolah yang sangat memahami keadaan dirinya selain sering mendorongnya agar tidak mudah patah semangat.

    “Apa yang perlu saya buat ialah menjaga semua aspek kesihatan, dengan mendisiplinkan diri dan berharap apabila tiba masanya nanti, ada organ yang sesuai supaya saya tidak perlu bergantung kepada mesin dialisis lagi,” katanya yang bercita-cita menjadi chef profesional satu hari nanti.

    Di sebalik harapannya, Chin juga amat optimis apabila enggan menjadikan penyakitnya sebagai halangan meneruskan kehidupan.

    “Tidak adil untuk merungut dan menyesali keadaan diri ini. Mungkin ada sebabnya di atas apa yang berlaku. Apa yang penting, sebagai peringatan kepada semua, hargailah kesihatan diri dan organ utama kita,” katanya.

    Info: Rawatan haemodialisis waktu malam
    • pesakit perlu menginap di hospital dari jam 10 malam hingga 6 pagi
    • pesakit juga boleh terus membuka sambungan mesin jika mahu ke tandas dan menyambung semula sebaik selesai.
    • pesakit yang punya masalah tidur sebelum ini mengakui tidur lebih nyenyak dan berkualiti selepas menggunakannya.

    Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011

      Atasi sakit belakang

      ANATOMI bahagian belakang tubuh adalah kombinasi tulang yang kuat, ligamen dan tendon yang fleksibel selain otot dan saraf yang sensitif.
      Rekaannya bukan saja ‘kuat’ tetapi berfungsi melindungi akar saraf yang sensitif. Bagaimanapun, seperti juga bahagian badan yang lain, ada kalanya ia tidak dapat lari daripada kesakitan. Malah, sakit belakang adalah yang paling ‘digeruni’ kerana selain kesakitan, ia turut menjejaskan rutin harian kerana menyebabkan individu sukar bergerak.
      Kesakitan bahagian tulang belakang mungkin disebabkan pelbagai faktor misalnya, akar saraf yang bengkak; otot besar (erector spinae) menegang; tulang, ligamen atau sendi cedera atau mungkin juga diska tergelincir.

      Berbanding rawatan lain, bagi tulang belakang, pembedahan adalah pilihan terakhir melainkan dalam kes-kes kecemasan. Selalunya, doktor hanya akan mencadangkan pembedahan jika kesakitan berterusan meskipun anda sudah melakukan rawatan bukan pembedahan. Andai berdepan situasi sedemikian, anda mungkin boleh menimbangkan pembedahan minima invasif (MIS).

      Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Harwant Singh, berkata berbanding dengan prosedur lama pembedahan tulang belakang, MIS dibantu dengan peralatan canggih berkomputer dan teknik pembedahan minima yang mengurangkan kesakitan.

      Jelasnya, prosedur MIS mengurangkan rasa sakit, cepat sembuh, memendekkan masa pembedahan, kurang kerosakan pada tisu lembut selain saiz tusukan pembedahan yang lebih kecil sekali gus menyebabkan bekas tusukan kurang berparut.
      Bagi pembedahan cara terbuka, pakar bedah membuat potongan panjang melalui kulit, otot dan ada kalanya tulang. Tempoh pemulihan untuk pembedahan jenis ini selalunya sakit dan lambat. Ada juga pesakit yang belum pulih sepenuhnya selepas sebulan tempoh pembedahan.

      “Terma minima invasif digunakan bagi merujuk pada prosedur yang hanya memerlukan tusukan pembedahan kurang daripada 1.5 sentimeter. Hari ini dunia perubatan moden bergerak ke arah rawatan jenis ini. Namun ada banyak pembedahan berbeza yang didefinisikan sebagai ‘minima invasif” dan menggunakan pendekatan berbeza. Justeru, penting untuk pesakit memahami setiap perbezaan itu dan membuat pilihan terbaik untuk mereka,” katanya.

      Meskipun MIS tidak merujuk kepada satu jenis pembedahan saja, namun tujuan pembedahan jenis ini adalah untuk mencapai kesan yang sama dengan pembedahan terbuka. Bezanya ia dilakukan dengan tusukan yang lebih kecil. Ada kala pembedahan jenis ini dilakukan melalui tiub kecil. Perlu juga diketahui bukan semua pesakit boleh menjalani prosedur ini.

      Satu daripada kelebihan prosedur MIS adalah dalam pembedahan ‘open lumbar’ (bahagian bawah tulang belakang) yang dulunya menyebabkan pembedahan sebesar lima ke enam inci. Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan pada tisu normal. Namun menerusi MIS, ia membantu mengurangkan ‘gangguan’ pada otot.

      Dalam sesetengah pendekatan MIS yang juga disebut sebagai ‘keyhole surgeries’ pakar bedah menggunakan endoskopi kecil dengan kamera di hujung yang dimasukkan melalui bawah kulit. Kamera itu membolehkan pakar bedah melihat lokasi yang terjejas. Hari ini MIS sudah menjadi pilihan popular di kebanyakan hospital di seluruh dunia.

      Bagaimanapun pesakit perlu menjalani rawatan konservatif seperti terapi fizikal, pengambilan ubat-ubatan sebelum memilih pembedahan sebagai alternatif rawatan. Selalunya doktor memberi tempoh p penilaian bergantung pada keadaan pesakit, umumnya antara enam minggu ke enam bulan.

      Oleh Hafizah Iszahanid
      Sumber Berita Harian 2011

      Kawal selera

      MAKAN buah-buahan sebelum makan makanan berat adalah tabiat yang baik, tetapi yang lazimnya berlaku, buah sering dijadikan sajian pencuci mulut atau hidangan terakhir selepas makanan utama.
      Hakikatnya, mendahulukan buah-buahan adalah baik berdasarkan konsep mengalas perut kerana ia tidak menjejaskan kepadatan tenaga makanan dan pengambilan tenaga menyeluruh biarpun seseorang itu dalam fasa menyekat pengambilan kalori.
      Malah, ada bukti klinikal yang menunjukkan bahawa penurunan berat badan yang ketara dapat dicapai bila individu dapat mengalas perut dengan tenaga yang rendah kepadatannya (misalnya buah) sebelum makan makanan utama.

      Menurut Pakar Khidmat Diet dan Pemakanan Hospital Columbia Asia Cheras, Cindy Chua Shiu Sinn, buah-buahan dapat membantu individu mengisi perut selain mengurangkan jumlah suapan sepanjang waktu makan.

      “Pada masa kini, kurang kajian yang dijalankan bagi menyelidik hubungan secara langsung antara pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dengan berat badan. Namun, dalam kajian pengurusan penyakit kronik, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dianggap sebagai bahagian penting dalam pengurusan penyakit secara keseluruhan (termasuk penurunan berat badan dan untuk tujuan penyelenggaraan berat badan),” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

      Individu tidak boleh menyekat apa yang mereka ambil berdasarkan kalori semata. Dan rasa kenyang adalah satu alasan untuk seseorang berhenti makan.
      Kata Chua, pada tahap kalori yang sama, kepadatan makanan bertenaga rendah seperti buah-buahan, menyediakan jumlah makanan yang lebih besar. Ini dapat membantu seseorang merasa cepat kenyang semasa makan sambil mengambil jumlah kalori yang lebih rendah.

      “Air dan serat boleh meningkatkan jumlah makanan dan mengurangkan kepadatan tenaga. Dalam keadaan semula jadi, buah-buahan mempunyai kandungan air dan serat yang tinggi. Oleh itu, buah adalah sumber baik yang rendah dalam kalori dan kepadatan tenaga,” katanya.

      Jelas Cindy, penyelidikan menunjukkan bahawa buah-buahan boleh meningkatkan rasa kenyang terutama bila diambil secara menyeluruh. Jika dibandingkan secawan 250 mililiter jus oren yang menyediakan 88 kalori dengan buah oren dengan hanya 37 kalori, lebih baik dimakan buah oren yang juga mengandungi lebih banyak lagi serat dan mampu mengenyangkan.

      “Semua jenis buah-buahan boleh diambil sebelum makanan berat tetapi sebaik-baiknya buah yang segar. Serat dapat mendorong bahan makanan tadi melalui sistem pencernaan dan memberikan jumlah yang konsisten setiap kali membuang air,” katanya.

      Bagaimanapun, kata Chua, sebelum makan makanan berat, elakkan makanan yang ada kepadatan tenaga yang tinggi yang biasanya merujuk makanan tinggi lemak atau gula. seperti makanan manis, hidangan makanan segera dan gula-gula.

      INFO: Khasiat buah-buahan


    • Sumber baik untuk sistem pencernaan kerana kaya serat.




    • Perlu diambil sekurang-kurangnya 30 gram serat sehari.




    • Bantu kurangkan risiko penyakit termasuk jantung atau kanser usus



    • Oleh Suzan Ahmad
      Sumber Berita Harian 2011




      Pencetus alahan

      Terdedah kepada risiko seperti habuk sedari kecil antara puncanya

      SETIAP pagi, anda bersin berulang kali hingga hidung dan matanya berair. Malah, garisan halus terbentuk pada batang hidungnya akibat tabiat menggosok hidung setiap kali terasa gatal.
      Lalu pelbagai andaian atau kemusykilan yang timbul - apakah ini masalah resdung atau sinus dan mungkinkah ini masalah selesema biasa? Bagaimanapun, selepas pemeriksaan dibuat, anda disahkan mengalami masalah alahan yang lazimnya wujud dalam pelbagai peringkat kehidupan dan dianggap sebagai lumrah.
      Alahan adalah satu tindak balas terlalu sensitif disebabkan oleh satu atau lebih bahan dalam persekitaran (debunga, habuk, makanan) yang melalui mekanisme sistem imun. Walaupun alahan jarang meragut nyawa, kesannya akan mengganggu kualiti hidup pesakit termasuk gejala fizikal dan tekanan emosi yang serius.

      Untuk mendapat alahan, pesakit perlu terdedah kepada alergen (bahan yang tidak merbahaya) yang menyebabkan tindak balas imun. Sistem imun terdiri daripada dua jenis sel darah putih iaitu T dan B. Ia membantu sistem imun mempertahankan tubuh dengan mengenalpasti bahan asing.

      Sebarang elemen berbahaya yang dikesan akan merangsang sistem pertahanan tubuh (mast cell) untuk melepaskan bahan kimia seperti histamines untuk memeranginya. Apabila sistem imun tersilap mengenalpasti elemen berbahaya, alahan akan berlaku terutama apabila berulang kali terdedah kepada bahan tertentu.

      Gangguan alahan boleh terjadi dalam pelbagai bentuk termasuk gangguan hidung dan sinus kepada alahan kulit, lelah dan makanan. Gejala-gejalanya juga berbeza dari ketidakselesaan ringan (hidung dan mata berair, bersin, gatal) kepada gejala yang lebih berat (sesak nafas, ruam, tindak balas alahan melampau atau anafilaktik).
      Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak yang juga Profesor di Jabatan Otorhinolaryngology Universiti Malaya, Dr Prepageran Narayanan, berkata jenis alahan yang dihidapi seorang kanak-kanak berkait rapat dengan betapa terdedahnya mereka dengan persekitaran sejak bayi.

      Katanya, pada awal kelahiran, biasanya mereka terdedah dengan bedak talkum, lampin pakai buang dan pakaian. Pada usia dua hingga tiga tahun mereka gemar memasukkan apa saja objek ke dalam mulut, empat hingga lima tahun mula bermain di taman permainan dan terdedah kepada persekitaran luar sehingga mula mendapat alahan.

      “Anda hanya akan mendapat alahan bergantung kepada apa yang didedahkan kepada anda. Sebab itu kadangkala ada pesakit yang datang mengadu pada mulanya tiada masalah dengan kekacang tetapi lama kelamaan alahan itu wujud. Ini kerana individu hanya akan mendapat alahan apabila terdedah berulang kali dengan perkara yang sama,” katanya pada kempen awam Hidup Bebas Alahan anjuran Persatuan Pakar Bedah Otorinolaringologi Kepala dan Tengkuk Malaysia (MSO-HNS), Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) dan disokong oleh GlaxoSmithKline Pharmaceutical Sdn Bhd (GSK).

      Bagaimanapun, katanya, apa yang menyedihkan, alahan sering disalah anggap oleh masyarakat, malah kebanyakan pesakit rela menerima hakikat alahan adalah sebahagian daripada lumrah kehidupan.

      Gejala seperti hidung berhingus dan tersumbat bukanlah masalahnya tetapi akibat daripada gejala-gejala yang timbul itu dan menyebabkan seseorang terpaksa mengambil cuti sakit kerana tidak dapat bekerja.

      Ada pula yang datang bekerja, tetapi tidak dapat melakukan tugas dengan baik kerana masalah hidung yang berhingus, tersumbat serta mata yang gatal dan berair.

      “Keadaan ini bukan saja memberi kesan kepada produktiviti tetapi juga mengakibatkan tekanan perasaan serta psiko-sosial,” katanya.

      Dr Prepageran berkata, memandangkan alahan adalah permulaan masalah yang lebih serius, ia perlu dibendung dan dicegah seawal mungkin. Sekiranya individu alah kepada habuk, hama atau debu, langkah kawalan dan pencegahan awal boleh diambil dengan mengelaknya. Ini kerana lebih awal alahan bermula lebih lama ia akan dihidapi.

      Jelasnya, adalah mustahil untuk mengelak dari terdedah kepada habuk, hama, debunga mahupun cuaca terutama di negara seperti Malaysia.

      “Pilihan yang ada adalah menyedarkan masyarakat mengenai alahan dan mengenai pertalian antara penyakit hidung, kulit dan lelah.

      “Pendidikan dalam kalangan orang awam adalah kunci dalam membantu pesakit dalam menentukan jenis alahan yang dihidapi bagi mengurangkan kejadian dan merebaknya penyakit itu dengan pengesanan dan rawatan yang bersesuaian.”

      INFO: Antara faktor risiko alahan:





    • Asap rokok - Kanak-kanak yang membesar di rumah yang terdedah dengan asap rokok, lebih berisiko alami masalah alahan. 



    • Mereka yang lahir tidak cukup bulan.


    • Pendedahan awal atau dari usia kecil kepada pencetus alahan seperti habuk, kulat, lipas dan jenis makanan tertentu.    





    • Gejala alahan :




    • Berbeza daripada ketidakselesaan ringan (hidung dan mata berair, bersin, gatal.


    • Ia lebih kepada gejala yang lebih berat seperti sesak nafas, ruam dan tindak balas alahan melampau.




    • Oleh Suzan Ahmad
      Sumber Berita Harian 2011


      Awas meningitis

      Jangkitan virus pada otak, boleh bawa maut tidak kenal mangsa

      BAGI seorang ibu, masalah anak demam, enggan makan dan minum, sakit kepala, merengek, muntah mungkin kedengaran seperti gejala penyakit yang biasa dialami anak kecil. Hakikatnya, tanda penyakit begini jangan diambil mudah kerana mungkin anak anda sedang menderita penyakit meningitis.
      Meningitis adalah radang akibat jangkitan virus atau bakteria pada selaput meninges pada otak dan saraf tunjang. Punca paling lazim meningitis adalah jangkitan virus yang biasanya pulih selepas mendapat rawatan. Bagaimanapun jangkitan meningitis oleh bakteria sangat merbahaya dan boleh menyebabkan kematian atau kecacatan otak.
      Malangnya, berapa ramaikah ibu bapa khususnya yang menyedari bahaya meningitis dan mengambil tindakan segera? Menyedari kepentingan itu, hari ini diisytiharkan Hari Meningitis Sedunia yang dianjurkan Persekutuan Pertubuhan Meningitis bagi menyemarakkan kesedaran dan kesan meningitis ini serta manfaat pengambilan vaksin bagi mengelak kematian akibatnya.

      Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Anthony James Mansul, berkata ada beberapa jenis bakteria yang menyebabkan penyakit meningitis seperti Streptokokus pneumonia dan Neiseria meningitis.

      “Bagaimanapun, di negara ini kuman bakteria yang sering ditemui adalah Hemophilus influenza atau HIB.

      “Apa yang menakutkan mengenai Hemophilus Influenza ialah sebaik masuk melalui darah ke selaput otak ia akan terus membentuk nanah. Masalahnya antibiotik tidak boleh menembusi nanah sekali gus gagal membersihkannya.
      “Akibatnya, kanak-kanak yang mengalami penyakit ini akan maut ataupun mengalami kecacatan otak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

      Dr Anthony berkata, sekitar awal 1990-an, kebanyakan kes yang dilaporkan membabitkan latar belakang masyarakat dengan sosio ekonomi yang rendah. Mereka tidak menyedari masalah kesihatan anak-anak mereka kerana seharian bekerja di ladang dan kerana itulah ramai kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dalam keadaan tenat.

      Kini, biarpun perkembangan sains dan teknologi yang serba canggih, hakikatnya sukar untuk menangani persepsi masyarakat yang memandang serong ujian diagnosis meningitis yang masih kontroversi. Ini disebabkan satu-satunya cara bagi mengesan meningitis adalah dengan mengambil cecair pada saraf tunjang menggunakan jarum suntikan atau prosedur dikenali lumbar punture.

      Mereka beranggapan dalam kebanyakan kes, apa yang berlaku adalah apabila prosedur ini dilakukan, pesakit meninggal dunia atau mengalami kecacatan. Ini tanggapan yang salah mengenai prosedur berkenaan dan akibatnya sehingga kini, sukar untuk meyakinkan orang tersayang dan keluarga pesakit untuk meneruskan prosedur berkenaan.

      Bagaimanapun, sejak enam hingga tujuh tahun kebelakangan ini kes meningitis semakin berkurangan. Jika dulu pengamal perubatan menerima satu atau dua kes setiap hari, kini hanya satu kes dalam masa dua bulan. Ini adalah kesan proaktif kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan memperkenalkan program HIB ke dalam senarai jadual imunisasi kanak-kanak pada 2000.

      INFO: Golongan berisiko:




    • Orang dewasa di bawah 30 tahun dan kanak-kanak di bawah 5 tahun sering dijangkiti meningitis.






    • Virus Herpes menyebabkan viral meningitis.






    • Meningitis juga boleh disebabkan oleh kesan kimia, alahan pada ubat, kulat dan ketumbuhan.


    • Oleh Suzan Ahmad
      Sumber Berita Harian 201

      Peka lelah

      Hari Asma atau Lelah Sedunia, tetapi sejauh manakah kita menyedarinya? Hakikatnya, berbanding penyakit jantung, diabetes atau kencing manis dan darah tinggi yang lebih dikenali, penyakit asma pula lazimnya lebih ‘dihayati’ penghidap dan keluarga mereka yang lebih maklum kesan atau komplikasi fizikal, psikologi dan sosial akibat asma.

      Malah, berbanding penyakit lain, asma sebaliknya boleh diurus dan dikawal. Malangnya, di sebalik kesedaran itu, penyakit ini masih mencatatkan peningkatan yang membimbangkan kerana tidak dikawal dan diuruskan dengan baik.
      Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif, menjelaskan menerusi kajian yang dijalankan berkaitan pengurusan dan kawalan asma di Malaysia, mendapati 30 hingga 40 peratus pesakit asma terganggu kualiti hidupnya (tidak dapat bekerja dan bersekolah) dan 30 hingga 40 peratus lagi tidak dapat menyertai aktiviti sukan, aktiviti fizikal atau bersantai.
      “Ini menunjukkan asma di negara ini memang tidak dikawal dengan baik terutama pengurusan rawatan yang mana ubat hanya digunakan bila sakit saja disamping pengambilan ubat yang tidak teratur dan salah.

      “Akibatnya, setiap kali mendapat serangan asma, paru-paru mengambil masa lama untuk sembuh,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

      Apakah punca berlakunya asma? Ia dicetuskan dengan kehadiran dua komponen utama iaitu alahan yang wujud secara genetik serta akibat terdedah kepada suasana atau perkara tertentu yang memburukkan lagi keadaan. Pada dasarnya, asma boleh dikatakan sebagai penyakit alahan.

      Menyentuh fungsi paru-paru sebagai organ dalam sistem pernafasan, ada tiga komponen utama iaitu saluran udara, rongga paru-paru dan selaput. Perkara utama membabitkan asma ialah saluran udara. Apabila alahan berlaku berlaku saluran menjadi bengkak dan mula menyempit. Apabila sempit udara sukar untuk keluar dan masuk menyebabkan pesakit tercungap-cungap, seperti penat dan nafas yang berbunyi.
      “Kadangkala, apabila saluran sempit dan menjadi radang ia akan mengeluarkan banyak cecair. Dan cecair inilah menjadikan saluran makin sepit dan menyebabkan pesakit sering batuk. Batuk adalah mekanisme yang baik bagi pesakit asma kerana ia mengeluarkan kahak dan pesakit asma yang batuk menandakan dia banyak kahak,” katanya.

      Dr Abdul Razak berkata, bersempena sambutan Hari Asma Sedunia 3 Mei ini yang masih memperjuangkan tema ‘Anda Boleh Mengawal Asma’, pesakit perlu sedar bahawa asma adalah milik mereka dan ia perlu diurus dengan baik.

      “Dulu, kita hanya ada ubat untuk membuka saluran udara, dan tiada penawar untuk mengurangkan radang. Kini kita ada ubat yang mencampurkan kedua-duanya sekali, mengembangkan saluran udara dan mengurangkan radang, jadi mahu atau tidak ia perlu diambil,” katanya.

      Bagaimanapun ubat yang paling mujarab ialah mengurangkan radang kerana kesannya adalah untuk jangka panjang, cuma masalahnya di seluruh dunia, mereka tidak suka menggunakan ubat mengurangkan radang kerana tidak nampak kesannya secepat mungkin.

      Kehadiran kombinasi itu adalah untuk mencegah serangan asma yang kuat dan mengurangkan fungsi paru-paru yang teruk, kerana itulah pesakit perlu disedarkan mengenai cara mengawal dan menguruskan asma supaya mereka boleh menikmati kualiti hidup yang terbaik dengan amalan gaya hidup yang sihat.

      Info: Tip urus asma
      • Pesakit dan doktor perlu saling berbincang cara terbaik kaedah atau rawatan terbaru menangani penyakit ini.
      • Gunakan ubat-ubatan asma dengan betul dan mengikut jadual yang ditetapkan.
      • Kenali simptom serangan asma seperti batuk, semput, sukar bernafas.
      • Kenal pasti punca atau faktor pencetus asma seperti bulu haiwan peliharaan, asap rokok dan habuk.
      • Bagi mereka yang boleh bersenam, dapatkan nasihat doktor mengenai senaman sesuai.
      Oleh Suzan Ahmad
      Sumber Berita Harian 201

        Hidup selepas 'mati'

        Malah menyebutnya saja pasti mencetuskan kegerunan kerana impak rawatan serta kemungkinan maut akibat barah ini yang ramai dihadapi wanita. Barah payudara adalah sejenis penyakit sel yang mana pembahagian sel-sel akan berhenti pada tahap tertentu. Sel-sel yang tidak normal yang membiak sehingga terbentuknya satu benjolan tisu yang digelar tumor dan boleh merebak ke kelenjar limfa, masuk ke dalam paru-paru. Seterusnya ia menuju ke bahagian sebelah buah dada, masuk ke tulang yang mengakibatkan tulang patah.
        Tidak cukup itu, ia bergerak ke dalam bahagian tulang punggung, paha dan masuk ke dalam hati menjadikan bengkak (jaundis) dan hingga ke peringkat akhir ke bahagian otak yang boleh menyebabkan pesakit menjadi koma.

        Namun bagi Kak Yan, dia percaya ada alasan di sebalik statusnya sebagai penghidap barah ini.

        “Saya percaya tekanan emosi adalah punca utama barah payudara ini kerana sebagai anak seni pemakanan cukup dijaga. Bukan setakat pemakanan, saya juga mendalami ilmu nutrisi untuk lebih memahami kandungan dan khasiat makanan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

        Aktres veteran itu turut mengakui waktu kerja tidak menentu menyebabkan dia sering kurang tidur dan dihambat tekanan emosi yang bertalu-talu. Akhirnya sel kanser terus merebak dan sebaik disahkan, ia sudah berada pada peringkat empat.
        “Lama-kelamaan bila saya menyedari semua yang terjadi, saya mula reda dan muhasabah diri. Perkara pertama yang saya belajar ialah saya mesti serahkan segala-galanya pada yang maha Esa. Mengapa saya perlu mempersoalkan, bimbang, ragu dan risau hingga tertekan perasaan dan jiwa raga dengan ketentuan Allah SWT,” tambahnya yang pernah bergelar primadona drama dan filem Melayu itu.

        Bagaimanapun, akibat dibelenggu masalah kewangan, Kak Yan terpaksa menghentikan rawatan konvensional di hospital sejak 2009.

        “Bila Kak Yan kata nak berhenti, doktor tidak benarkan atas alasan sel kanser akan merebak jika tidak diteruskan,” katanya yang turut melalui 26 prosedur radioterapi selain lebih 10 kemoterapi.

        Belum pun kering air matanya, Kak Yan diuji lagi apabila ujian imbasan menunjukkan barah itu sudah menyelinap ke paru-paru dan hati. Kak Yan turut dikejutkan saranan doktor yang menasihatkannya menyediakan wasiat sebelum terlambat kerana mengikut perkiraan, dia dijangka meninggal dunia pada Oktober 2010.

        Lalu apa jawab Kak Yan? “Tak mengapalah, saya minta lagi 20 tahun dengan Allah SWT,” jawabnya dalam nada berjenaka.

        Sejak itu, Kak Yan terus mengamalkan bacaan ayat suci al-Quran serta berubat di Syifa Al-Hidayah selain kembali kepada amalan pemakanan kesihatan seperti vitamin dan bancuhan sarapan berkhasiat. Terbukti selepas tiga minggu mengamalkan rejimen diet itu, dia boleh berjalan dan tidak lagi bergantung pada kerusi roda.

        Namun, dari semasa ke semasa Kak Yan, tetap ke hospital bagi menjalani pemeriksaan berkala dan memantau perkembangan penyakitnya.

        “Reda dan tawakal mungkin itulah rahsia kekuatan Kak Yan selama ditimpa musibah ini, namun itulah hakikatnya, mengamalkan hidup yang bebas dari tekanan banyak membantu menangani segala macam dugaan yang datang silih berganti,” katanya yang kini kelihatan segar berbanding dulu.

        “Kerana itu juga setiap kali dijemput untuk memberi ceramah motivasi, saya sering memberi gambaran kepada peserta sekiranya anda atau insan tersayang ditakdirkan mendapat penyakit ini, jangan bimbang kerana dengan reda, ikhtiar, tawakal dengan izin Allah semuanya akan berjalan lancar.”


        Usah mengalah, kongsi emosi: Pakar


        SAAT disahkan positif menghidap barah payudara, dunia tiba-tiba hilang dari pandangan, semuanya jadi kabur dan kelam. Marah, sedih, tidak percaya, takut dan geram adalah antara emosi yang diharungi wanita yang menghidap penyakit ini.

        “Ada wanita bertuah dikelilingi sistem sokongan yang padu seperti pasangan, ibu bapa, anak dan rakan-rakan, namun tidak kurang juga yang meraba dalam kegelapan dibiarkan sendirian hingga membuat pilihan rawatan yang tidak betul akibat kurang sokongan dan pengetahuan mengenai penyakit yang dihidapi, ” demikian jelas Pakar Bedah Payudara dan Endokrin, Pusat Perubatan Prince Court (PPPC), Dr Harjit Kaur.

        Sekian lama berdepan dengan penghidap barah payudara, memperteguhkan lagi kepercayaannya bahawa pengetahuan adalah segala-galanya. Lebih banyak seorang pesakit tahu mengenai perubahan pada tubuhnya lebih mudah dia bertahan dan mengawal perasaannya.

        “Wanita yang memperlengkapkan dirinya serta mengamalkan pemakanan yang sihat berbanding mereka yang sakit sering mengatasi penyakit ini lebih baik dan lebih rela menjadi manusia yang lebih kuat dan tabah daripada menjadi mangsa,” katanya pada majlis pelancaran kumpulan sokongan barah payudara Pink Ladies of Prince Court di PPPC baru-baru ini.

        Menyertai kumpulan sokongan yang terdiri daripada pesakit, bekas pesakit, dan penjaga diharap dapat menyediakan maklumat, garis panduan, sokongan sosial dan rangkaian kepada ahli serta sesiapa saja yang berminat menyertai kumpulan ini.
        Dengan pertemuan tetap setiap bulan, pakar dari pelbagai bidang perubatan, pengurusan diet, fisioterapi dan senaman, kesihatan am dan perapian diri dijemput meluangkan waktu dengan kumpulan berkenaan.

        “Kumpulan sokongan juga dilihat sebagai platform perkongsian emosi terbaik kepada pesakit. Saya menyedari ramai wanita takut untuk bertanya kerana bimbang dianggap jahil dan mengarut. Menghadiri perjumpaan seumpama ini akan menyedarkan mereka bahawa mereka tidak sendirian. Tembok penghalang diruntuhkan dan mereka mula berani dan selesa untuk bertanya mahupun berkongsi pengalaman sekali gus menambah pengetahuan mengenai penyakit yang dihidapi serta cara terbaik menguruskannya,” katanya.

        Dr Harjit berkata, banyak kajian membuktikan wanita akan mendapat manfaat menerusi perjumpaan atau kumpulan sokongan yang dijalankan dengan baik kerana ia memperkukuhkan lagi minda jiwa dan emosi. Dalam masa sama menunjukkan kemajuan menerusi rawatan dan pemulihan dalam cara yang lebih lancar dengan hasil yang lebih baik.

        “Berkongsi pengalaman dan pengetahuan acap kali membantu dalam meningkatkan keberkesanan peranan penjaga dan ahli keluarga begitu juga sokongan yang diberikan.

        Mereka adalah sebahagian daripada pasukan pengurusan pesakit dan bercakap mengenai pengalaman sangat berguna dalam membenarkan mereka merasa tidak sedih dan dipinggirkan. Ini menjadikan mereka kuat begitu juga dengan pesakit yang secara tidak langsung memanfaatkan seluruh pasukan,” katanya.


        INFO
        Barah payudara



      • Di Malaysia, dianggarkan 27 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser payudara berbanding 18 wanita dari setiap 100,000 penduduk mengalami kanser pangkal rahim (penyebab kedua kanser yang sering berlaku dikalangan wanita).



      • Dalam setahun dianggarkan seramai 2,700 - 3,000 kes baru didiagnosis sebagai kanser payudara.

        Tanda-tanda barah payu dara
             * Ketulan yang tidak sakit di payudara atau ketiak
             * Ruam yang berterusan di sekeliling puting
             * Perdarahan atau lelehan luar biasa dari puting
             * Perubahan pada kulit seperti bengkak dan menebal, berlubang, permukaan kulit berkedut dan puting       tertarik ke dalam




      •       Tahap Barah 
        Tahap satu - umumnya bermaksud ketulan barah saiznya kecil dan hanya tertumpu dalam organ yang terjejas
         dan belum merebak ke organ lain.

        Tahap dua - barah sudah mula merebak ke tisu berdekatan tetapi saiz tumor sudah mula membesar. Ada kala barah tahap dua juga bermaksud ia sudah merebak ke nodul limfa yang berdekatan dengan ketumbuhan itu.

        Tahap tiga - ketumbuhan mula membesar. Ia mula merebak ke kawasan tisu berdekatan dan sel barah sudah berada dalam limfa nodul.Tahap empat - barah sudah merebak ke bahagian organ lain.


         sumber - Organisasi Penyelidikan Barah, United Kingdom


        Oleh Suzan Ahmad
        Sumber Berita Harian 2011

        Arthritis usia muda

        SUSUK tubuhnya yang kecil dan tidak setara usianya sering menjadi bahan jenaka rakan sekolah. Tambahan pula dalam kebanyakan masa dia terpaksa pula membawa diri kerana tidak dapat menyertai sebarang kegiatan fizikal yang lasak dan menyeronokkan seperti dinikmati rakan sebayanya. Hanya rakan yang akrab saja tahu dan faham derita penyakitnya.
        Inilah sengsara yang ditanggung pesakit Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA) seperti yang dialami Siti Bazilah Puad@Awang, 19, sejak usianya baru mencecah 9 tahun lagi.
        “Dulu saya cepat melenting dan tersinggung serta mudah tertekan dengan keadaan penyakit ini kerana kurang faham dan tidak tahu menguruskannya.

        “Namun lama kelamaan dengan sokongan keluarga dan pakar perubatan, saya mula menyesuaikan diri dan memahami kelebihan dan keburukan bergelar penghidap JIA,” katanya ketika ditemui penulis di Hospital Selayang, baru-baru ini.

        Penuntut tahun pertama Kolej Islam Antarabangsa dalam bidang Pendidikan Islam Awal Kanak-Kanak, itu berkata, gejala awal bermula apabila dia diserang demam panas yang keterlaluan sewaktu berusia 9 tahun. Selain demam, Siti merasa sakit yang teramat sangat di sekitar sendi-sendi tubuh terutama lutut, buku lali, pergelangan tangan sehingga tidak dapat menggerakkannya.

        “Pada mulanya ibu bapa menyangka ia hanya demam panas biasa, namun menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila suhunya terlalu tinggi. Pergerakan saya juga lambat dan berasa sakit untuk berjalan hingga kesakitan yang dialami itu sukar untuk digambarkan,” katanya.
        Hanya selepas sebulan berulang-alik ke hospital dan melakukan pelbagai ujian, anak kelima daripada enam beradik ini disahkan mengalami masalah berkaitan kecelaruan auto imun itu. Selain mengalami kesakitan, sendi tumbesarannya juga terganggu.

        “Pada usia 9 tahun itu, bagi saya, sememangnya terlalu muda untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan JIA... baik dari segi gejala, kaedah rawatan, kesannya terhadap rutin seharian dan masa depan saya.

        “Hanya pada usia mencecah 14 tahun saya mula mencari maklumat lanjut di laman web, bahan bacaan, bertukar pandangan dengan mereka yang senasib termasuk menyertai Kem Musim panas ‘Indipendent Camp’ yang sering dianjurkan Hospital Selayang,” katanya.

        Sejak menerima rawatan di Hospital Selayang sejak 2001, anak kelahiran Kuala Lumpur ini perlu mengambil beberapa jenis ubat termasuk asid folic, vitamin D, fisioterapi, pemulihan carakerja dan hidroterapi.

        “Kini walaupun saya sedar JIA akan membayangi kehidupan saya hingga ke akhir hayat kerana tiada penawar untuknya, namun saya percaya ada hikmah di sebalik semua yang tersurat. Tubuh saya mungkin kecil namun hati dan cita-cita saya untuk menjadi pendidik anak bangsa cukup besar.”

        Menghidap penyakit kronik begini bukan satu hukuman atau pengakhiran kepada sebuah kehidupan sebaliknya ia menjadi lebih bermakna apabila kita tahu bersyukur, tidak mudah putus asa dan memahami maksud reda.

        'Bukan sakit keturunan, boleh dialami semuda usia bayi'

        TIADA apa yang lebih mengejutkan ibu bapa apabila diberitahu anak kecilnya menghidap arthritis, penyakit yang lazim dialami warga tua. Dikenali sebagai Juvenile Idiopathic Arthritis (JIA), ia adalah jenis penyakit arthritis yang menyerang kanak-kanak dan dikategorikan sebagai kronik (penyakit sepanjang hayat) kerana ia menjejaskan sendi di seluruh tubuh.

        Ini berlaku apabila sistem imun yang sepatutnya menyerang anasir asing pada tubuh menjadi celaru dan sebaliknya menyerang sel tisu yang melindungi bahagian dalaman sendi. Ini mengakibatkan pesakit mengalami bengkak, sakit dan kekejangan berlarutan.

        Punca sebenar JIA masih tidak diketahui. Bagaimanapun, pengkaji turut menyelidik beberapa faktor yang berkemungkinan terbabit secara sendiri mahupun berganding dalam mencetus kesan keradangan yang dilihat pada JIA. Faktor ini termasuk genetik, jangkitan dan faktor persekitaran yang mempengaruhi sistem imun. JIA, bagaimanapun, bukan penyakit keturunan seperti cystic fibrosis.

        Perunding Pediatrik Rheumatologi, Hospital Selayang, Dr Tang Swee Ping, berkata JIA boleh dihidapi seawal usia bayi beberapa bulan sehingga 16 tahun.

        Ia dikenali sebagai juvana kerana kanak-kanak dikesan menghidap penyakit ini sebelum mencecah usia 16 tahun manakala idiopathic bermaksud punca penyakit yang masih tidak diketahui.

        “Secara umumnya, dari segi nisbahnya satu daripada 1,000 kanak-kanak di Malaysia menderita penyakit ini. Memandangkan Hospital Selayang adalah pusat rujukan untuk penyakit arthritis, sejak unit ini ditubuhkan enam tahun lalu, 60 pesakit kronik arthritis menerima rawatan di sini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

        Merujuk kes Siti Bazilah yang dirawat sejak 2001, Dr Tang dapat merumuskan kebanyakan pesakit yang mengalami JIA mampu mengawal penyakit mereka dengan baik dan gadis itu adalah antara contoh terbaik.

        “Biasanya, kanak-kanak yang mengalami JIA menghadapi masalah memahami, menguruskan penyakit serta bertanggungjawab terhadapnya.

        “Justeru, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk memberikan segala maklumat dan pengetahuan asas berguna kepada ibu bapa serta penjaga supaya mereka memahami serta tahu bagaimana menguruskan anak yang menderita JIA dengan terancang,” katanya.

        Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak atau pelajar yang mengalami JIA berhadapan masalah pergaulan dan komunikasi di sekolah kerana terpaksa mengelak dari menyertai aktiviti fizikal yang keras dan memudaratkan keadaan mereka. Malah susuk tubuh mereka yang kebanyakan lebih kecil dari usia akibat gangguan tumbesar menjadi bahan senda gurau rakan sebaya.

        “Untuk itu Yayasan Arthritis Malaysia, menerusi Kelab Remaja mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak ini termasuk untuk ‘Independent Camp’ yang mana pesakit muda ini dibawa menyertai program tanpa ditemani keluarga bagi memperkasa diri dengan maklumat dan pengetahuan mendalam mengenai penyakit, ubat-ubatan, mengapa perlunya ubat-ubatan dan juga peluang pekerjaan.

        “Mereka perlu tahu dengan memahami halangan jenis pekerjaan yang kurang sesuai akibat kekangan fizikal, anak-anak ini akan lebih fokus kepada jenis kerjaya yang lebih sesuai kerana hakikatnya menghidap JIA bukanlah penamat untuk mereka menikmati kehidupan yang berkualiti dan berjaya.”

        INFO: Gejala JIA

        Berbeza dan bergantung kepada jenis JIA termasuk:

      • Kejang pada bahagian sendi waktu pagi.

      • Sakit, bengkak dan lembut dalam sendi. 

      • Tempang (bayi atau anak kecil berkemungkinan tidak mampu menjalani aktiviti motor yang baru dipelajari).

      • Demam.

      • Ruam.

      • Hilang berat badan.

      • Letih atau cepat marah.

      • Merah mata. sakit mata dan pandangan kabur.

      • Rawatan JIA termasuk:
      • Ubat anti-radang tanpa steroid (NSAIDs).

      • Corticostreoids (streoids).

      • Ubat anti-rheumatik pengubah suai-penyakit (DMARDs).

      • Agen pengubah suai Biologikal.

      • Senaman dan terapi fizikal dan cara kerja.



      • Oleh Suzan Ahmad
        Sumber Berita Harian 2011

        Kaitan gen, ubat

        Projek Variasi Manusia kenal pasti rawatan, ubat sesuai DNA selain penyakit

        SEJENIS ubat mungkin mujarab bagi seorang pesakit namun ubat sama mungkin memudaratkan yang lain pula. Mengapakah boleh berlaku sedemikian?
        Antara puncanya disebabkan perbezaan genetik kedua-dua pesakit berkenaan. Generasi baru ubat-ubatan bukan lagi lambakan ubat yang dihasilkan untuk keuntungan. Jika projek pemetaan genetik diambil kira, penghasilan ubat-ubatan farmakogenetik (kajian bagaimana perbezaan genetik mempengaruhi tindak balas atau reaksi manusia bertindak balas terhadap sesuatu ubat), akan memonopoli pasaran ubat dunia.

        Bagi tempoh 1990 hingga 2003, pemetaan genetik yang dikenali sebagai Projek Genom Manusia (HGP) sudah bermula. Di Amerika Syarikat, HGP berjaya merekodkan antara 20,000 ke 25,000 gen dalam DNA manusia. Sejak itu banyak penyelidikan berkaitan pemetaan genetik dilakukan di seluruh dunia.

        Selepas HGP, satu lagi projek genetik menyusul iaitu Projek Variasi Manusia atau Human Variome Project (HVP). HVP dicetuskan oleh Profesor Richard Cotton dan berpangkalan di Australia. Ia adalah satu inisiatif global bagi mengumpul data-data genetik manusia bagi tujuan merawat penyakit-penyakit yang berkaitan dengan mutasi gen.

        Malaysia tidak terkecuali menyertai projek ini. Menerusi projek ini, ia akan memberi impak yang besar kepada kesihatan penduduk di sesebuah negara khususnya menerusi bidang pharmacogenomik dalam mengkaji maklumat genetik sama ada ubat digunakan berkesan atau tidak. Bukan itu saja, penghasilan peta genetik menerusi HVP juga akan memberikan maklumat yang lebih tepat mengenai sejarah penghijrahan penduduk dan mendedahkan tahap profil genetik pelbagai penduduk.
        Ketua Konsortium Variasi Genom Manusia 1Malaysia (1MHGVC), Prof Madya Dr Zilfalil Alwi berkata, variasi genom dalam jujukan DNA mempengaruhi kecenderungan penyakit dan tindak balas individu terhadap ubat-ubatan, jangkitan dan vaksin.

        Satu daripada variasi genomik itu ialah ‘single nucleotide polymorphism’ atau SNP yang berlaku apabila ada satu nukleotid (A, C, T atau G) yang berbeza antara individu-individu dan berlaku pada sekurang-kurangnya satu peratus daripada penduduk atau kumpulan etnik berkenaan.

        “Justeru, dengan mengenalpasti variasi-variasi genomik ini, akan membolehkan penyelidik menjalankan kajian perbandingan antara kumpulan berpadanan yang berpenyakit dan yang tidak berpenyakit.

        “Penemuan variasi-variasi ini akan memberi pengertian baru yang penting mengenai patogenesis, diagnosis, rawatan penyakit manusia dan pembangunan terhadap perubatan kepada sesebuah populasi,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

        Dr Zilfalil berkata, penemuan variasi genom memberi petunjuk penyebab kecenderungan penyakit yang dialami manusia dan sekali gus memberi jalan terbaik untuk menanganinya. Hal ini selaras dengan matlamat HVP bagi membolehkan rawatan yang lebih berkesan kepada pesakit berdasarkan kecenderungan penyakit yang dialami.

        “Kini, 1MHGVC yang juga anggota HVP sudah mewujudkan pangkalan data SNP dan diharapkan kewujudannya akan memberi impak yang positif kepada para penyelidik di negara kita dalam usaha meningkatkan kualiti kesihatan di Malaysia,” katanya.

        Beliau berkata, dengan kajian kecenderungan penyakit berdasarkan genetik, pesakit akan diberikan ubat berdasarkan ciri genetiknya. Ia membantu memberi rawatan lebih berkesan kepada pesakit selain mengurangkan risiko berlakunya tindak balas kesan sampingan (adverse reaction) terhadap sesuatu ubat yang diberikan.

        Ahli 1MHGVC yang juga pakar Pharmacogenetik Universiti Malaya, Prof Dr Zahurin Mohamed, berkata kajian dalam bidang pharmacogenomik akan membantu memberikan identiti gen yang mempengaruhi tindak balas ubat-ubatan supaya ubat-ubat yang akan dibangunkan kelak lebih berkesan tanpa banyak kemudaratan yang timbul daripada penggunaannya.

        “Disebabkan Malaysia negara berbilang kaum, kajian farmakogenomik amat diperlukan untuk mengkaji sejauh mana perbezaan antara kaum mempengaruhi keberkesanan sesuatu ubat, dan kajian sebegini dijangka akan membawa kita ke era yang membolehkan ramalan dibuat tentang keberkesanan sesuatu ubat pada masyarakat yang pesakitnya berbilang kaum seperti di Malaysia.

        “Ia membolehkan pembangunan ubat dan vaksin baru terhadap sesuatu penyakit yang berkaitan. Ketika ini, di peringkat global, pemberian sesetengah ubat mengambil kira ciri genetik seseorang pesakit umpamanya dalam rawatan barah,” katanya.

        Namun cabaran paling besar adalah syarikat farmaseutikal yang kerana sudah pasti ubat dihasilkan mungkin disasarkan kepada kumpulan majoriti. Jika berpandukan konsep farmakogenetik, untuk sesetengah jenis ubat, ia mungkin tidak akan dihasilkan lagi kerana bilangan kumpulan etnik yang berhadapan dengan penyakit itu mungkin terlalu kecil.

        INFO:
        Human Variome Project (HVP)

        Nilainya kepada Negara:

        • Menyediakan kajian penduduk khusus bagi menentukan transmisi penyakit dan pola penghijrahan, seterusnya membantu meramalkan proses penyakit pada masa hadapan di kalangan rakyat Malaysia.
        • Hasilnya boleh digunakan untuk menubuhkan intervensi kesihatan awam yang dapat menghentikan penerimaan dan penyebaran penyakit-penyakit tropika seperti tuberculosis, penyakit berjangkit dan penyakit genetik umum di Malaysia (seperti kekurangan G6PD dan Beta Thalasemia). Dengan itu, membantu dalam merancang seluruh komuniti dan program terapi bagi menghentikan penyebaran penyakit.
        • Satu pangkalan data SNP dan CNV kebangsaan yang menyeluruh dan berpusat untuk para saintis dan penyelidik Malaysia. Satu pusat bagi saintis Malaysia untuk menyerah, mengakses dan menganalisa data SNP.
        • Membangunkan sumber manusia dan melatih pelajar dalam bidang kepakaran ini.
        • Penerbitan penemuan-penemuan ini di dalam jurnal antarabangsa yang berimpak tinggi.
        • Hubungan dan kerjasama antarabangsa dengan saintis terkenal dunia

        Oleh Hafizah Iszahanid
        Sumber Berita Harian 2011

          Kerap demam tanda SLE

          HARI bahagia yang bakal dilalui sebagai pengantin baru akhir bulan ini pastinya menambah tekanan kepada wanita ini selepas disahkan menghidap penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau Lupus.
          Apa tidaknya, ketika bakal pengantin lain sibuk membuat persiapan, Nas Norniza Nasbah, 26, sebaliknya dikejutkan dengan berita menghidap SLE, April lalu.
          “Bagaikan tidak percaya...rupanya demam yang kerap menyerang tanpa henti awal tahun ini, lenguh badan dan sakit sendi adalah simptom awal menghidap penyakit itu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

          SLE adalah penyakit kronik berpanjangan yang berlaku akibat kecelaruan sistem pertahanan tubuh membabitkan sistem auto imun badan apabila sistem pertahanan menyerang tubuh. Sistem pertahanan tubuh adalah rangkaian sel yang bertindak melindungi tubuh daripada serangan benda asing.

          Penyakit ini ada kalanya sukar didiagnos pada peringkat awal kerana gejala-gejalanya tidak begitu ketara. Ini adalah kerana gejala awal penyakit SLE tidak spesifik termasuk rasa letih lesu, demam, sakit sendi dan keguguran rambut. Kebanyakan pesakit SLE (70 hingga 80 peratus) mengalami masalah kulit. Selalunya bahagian muka akan terjadi ruam yang dikenali sebagai malar rash atau butterfly rash.
          Ruam ini terjadi di bahagian pipi dan hidung dan oleh kerana bentuk ruam ini merupai bentuk sayap rama-rama, ia juga dikenali sebagai butterfly rash.
          “Bayangkan jika anda di tempat saya...persiapan hampir siap sepenuhnya. Perasaan sedih menguasai apabila diberitahu saya menghidapi penyakit ini. Pada mulanya, saya tidak risau atau sedih selepas dimaklumkan akan sembuh menjelang hari bahagia.

          “Namun harapan itu hampir musnah apabila seluruh badan dipenuhi kesan ruam termasuk muka. Ruam yang memenuhi badan beliau itu akibat penyakit Steven Johnson iaitu alahan kepada ubat.

          “Sebaik saja dibenarkan keluar daripada hospital swasta di Alor Star, Kedah, saya berehat di rumah keluarga. Seminggu selepas itu, saya mengalami kesan ruam dan ulser penuh di mulut. Keadaan bertambah teruk dengan deria penglihatan yang bertambah kabur hari ke hari.

          “Tidak cukup dengan itu, kesan daripada penyakit SLE ini, saya sentiasa lemah. Tapak kaki dan tangan saya sentiasa panas dan setiap malam, saya tidak dapat tidur lena kesan daripada rasa panas," katanya.

          Ditanya apakah yang membuatkan beliau bersemangat melawan penyakit ini walaupun tahu kesan dalam kehidupan seharian beliau, Nas Norniza yang lebih mesra dipanggil Nonie, tersenyum lantas menjawab, salah satu faktor utama ialah mementingkan masa depannya, termasuk untuk bergelar isteri dan seterusnya berkeluarga.

          Walaupun ramai yang berpesan untuk tidak memikirkan hal itu, namun Nonie punya alasan tersendiri mengapa perlu fikir perkara itu.
          “Semua orang di sekeliling saya memberi kata-kata sokongan untuk kuat dan berfikiran positif walaupun muka saya seperti melecur pada peringkat awal dan agak sukar untuk sembuh dalam tempoh terdekat.

          “Untuk berfikiran positif, saya mengandaikan, hanya perkahwinan membuatkan saya gembira dan bersemangat untuk terus melawan rasa sakit,” katanya.

          Anak muda yang bekerja di salah sebuah syarikat penerbangan tambang murah terkenal di negara ini memberitahu, dia juga tidak bergantung kepada ubat semata-mata sebaliknya mendekatkan diri dengan Allah SWT dan sentiasa berdoa kepada-Nya.

          “Setiap hari saya berdoa dan saya yakin abah dan mama juga tidak henti berdoa agar kesihatan saya cepat sembuh. Saya akui sokongan keluarga dan orang sekeliling amat penting bagi dalam mengharungi hari-hari sebagai pesakit SLE.

          “Sewaktu disahkan doktor mengenai penyakit ini, hampir setiap hari saya lihat, abah dan mama menangis apabila memeluk saya tidak kira di rumah atau di hospital. Mereka bagaikan tidak percaya apa yang berlaku kepada saya.

          “Pernah sampai satu tahap, saya meminta mereka yang datang melawat supaya tidak menangis kerana saya perlukan sokongan dan bukan air mata untuk melawan penyakit ini,” katanya.

          Beliau memberitahu, sebelum terlantar di hospital selama dua minggu, dia masih sempat menghadiri kursus perkahwinan.

          “Orang mungkin kata saya seperti terdesak tetapi ini adalah cara saya melawan kesakitan saya. Bagi saya tiada apa yang mustahil. Saya ada membaca pelbagai maklumat mengenai SLE dan ramai pesakit penyakit ini masih mampu meneruskan kehidupan mereka bersama keluarga masing-masing,” katanya yang bercadang menjadi ahli persatuan SLE selepas selesai majlis perkahwinannya nanti.


          Wanita Asia antara majoriti penghidap

          LUPUS pada dasarnya adalah penyakit berkaitan kecelaruan sistem auto imun. Masalah auto imun adalah penyakit yang berlaku apabila tisu badan diserang sistem imun atau pertahanannya sendiri. Sistem imun adalah satu sistem yang kompleks dalam tubuh, direka khusus untuk menyerang ejen-ejen jangkitan seperti bakteria dan mikrob asing. Satu cara sistem imun menyerang jangkitan ialah dengan menghasilkan antibodi yang terikat dengan mikrob.

          Mereka yang menghidap lupus menghasilkan antibodi yang tidak normal dalam darah yang tertarik untuk menyerang tisu dalam tubuh mereka sendiri berbanding ejen jangkitan asing. Oleh kerana antibodi dan sel yang mengiringi keradangan boleh menjejaskan tisu di mana saja dalam tubuh, lupus punya potensi untuk menjejaskan banyak bahagian tubuh. Masalah lupus menjejaskan sistem organ seperti kulit, sendi, dan organ dalaman.

          Sebab yang tepat bagi menjelaskan mengapa masalah auto imun tidak normal boleh menyebabkan lupus masih tidak diketahui. Faktor seperti diwarisi secara genetik, virus, sinar ultra ungu dan ubatan tertentu adalah kebarangkalian yang ada memainkan peranan.

          Perunding Perubatan dan Rheumatologi Hospital Columbia Asia Bukit Rimau, Dr Kuan Woon Pang, berkata faktor genetik meningkatkan kemungkinan akan terhasilnya penyakit auto imun dan penyakit auto imun seperti lupus, rheumatoid arthritis, dan gangguan auto imun thyroid adalah paling biasa dialami dikalangan mereka yang punya pertalian dengan pesakit lupus namun dalam kes tertentu ia tiada kena mengena dengan sejarah keluarga.

          “Lupus boleh dihidapi lelaki dan wanita. Bagaimanapun 90 peratus penghidap lupus adalah wanita yang mana lazimnya dihidapi pesakit berusia antara 10 hingga 50 tahun terutama mereka yang berketurunan Afrika-Amerika dan juga Asia,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

          Gejala penyakit ini berbeza-beza dan meluas serta boleh menjejaskan beberapa bahagian tubuh. Pada otot skeletal ia menjejaskan sendi dan menyebabkan sakit sendi yang ringan hinggalah kepada serius. Lupus juga boleh menyebabkan athritis pada tangan. Kulit pula boleh terjejas oleh ruam, jangkitan kulit dan bintil lebam yang menyakitkan.

          Buah pinggang menghasilkan deposit protin dan boleh menyebabkan kegagalan renal, dan pesakit memerlukan dialisis. Sistem saraf boleh menyebabkan disfungsi mental, sawan, psikosis dan sakit kepala yang teruk. Darah beku boleh terbentuk begitu juga pulmonari embolism. Jantung pula boleh menyebabkan sakit dada, endocraditis, dan myocarditis. Gejala pada jantung berkemungkinan ada kaitan dengan dengan kesan yang diberikan Lupus pada darah, akibat pembekuan yang boleh berlaku.

          Sesak nafas begitu juga pleurisy boleh terjadi di dalam paru-paru akibat Lupus.

          Ada dua jenis lupus - pertama dan yang paling lazim adalah Discoid Lupus erythematosus (DLE) yang hanya menjejaskan bahagian kulit yang terdedah manakala jenis yang lebih serius dipanggil Systemic Lupus Erythematosus (SLE) yang menjejaskan sistem tubuh termasuk kulit.

          Bagi pesakit DLE, ruam bermula dengan beberapa tompok kemerahan, keras dan kasar dan meninggalkan parut. Tompok ini di muka, di belakang telinga dan di kulit kepala. SLE menyebabkan pelbagai gejala. Ruam merah yang bertompok serta berbentuk rama-rama muncul di pipi dan bawah hidung. Gejala lain termasuk sakit sendi, demam, hilang selera makan, loya, kelesuan, dan hilang berat badan.

          Ada juga gejala seperti anaemia, masalah psikiatrik dan neurologi, kegagalan buah pinggang, pleurisy, arthritis dan pericarditis. Diagnosis dilakukan dengan ujian darah dan juga biopsi kulit.

          Penghidap SLE yang ringan mampu menikmati tahap kesihatan yang hampir normal untuk jangka waktu yang panjang; dengan rawatan ubat corticosteroid dan immunosuppressant juga dapat memanjangkan jangka hayat. Walaupun terdapat pelbagai pilihan rawatan untuk tahap Lupus Erythematosus yang tertentu, SLE adalah penyakit yang berpotensi untuk membawa maut.

          “Bentuk rawatan Lupus perlu menumpu kepada kesan sampingannya. Tiada penawar untuk penyakit ini, jadi perkara yang mampu dilakukan pesakit adalah dengan mengurangkan gejalanya. Ubat anti keradangan diberikan untuk kesakitan arthritis begitu juga pleurisy. Ruam kulit boleh dibantu dengan corticosteroids, yang biasanya datang dalam bentuk krim atau losyen bukan saja untuk menghilangkan ruam tetapi juga untuk melegakannya. Gejala yang teruk perlu diperiksa oleh pakar menerusi pemantauan yang rapi terhadap jenis gejala selain pelbagai cubaan ujian dilakukan bagi mengesan jenis rawatan paling berkesan.

          Bagi anda yang perlu hidup dengan lupus sepanjang hayat, beralih kepada amalan gaya hidup yang sihat seperti diet yang seimbang dan melakukan aktiviti senaman ringan secara terancang. Persekitaran yang bebas dari tekanan juga sangat membantu.

          INFO

          • Ada dua jenis lupus iaitu Discoid Lupus erythematosus (DLE) dan Systemic Lupus Erythematosus (SLE)
          • DLE hanya menjejaskan bahagian kulit yang terdedah manakala jenis yang lebih serius, SLE menjejaskan sistem tubuh termasuk kulit.
          • Bagi pesakit DLE, gejala termasuk ruam dengan beberapa tompok kemerahan, keras dan kasar dan meninggalkan parut.
          • Bagi SLE, ia menyebabkan pelbagai gejala seperti ruam merah yang bertompok serta berbentuk rama-rama muncul di pipi dan bawah hidung. Gejala lain termasuk sakit sendi, demam, hilang selera makan, loya, kelesuan, dan hilang berat badan.
          • Ada juga gejala seperti anaemia, masalah psikiatrik dan neurologi, kegagalan buah pinggang, pleurisy, arthritis dan pericarditis. Diagnosis dilakukan dengan ujian darah dan juga biopsi kulit.

          Oleh Suzan Ahmad & Nas Norziela Nasbah
          Sumber Berita Harian 2011

            Pembunuh senyap

            Ismail Zakri aktif senam, jaga badan pasrah ketumbuhan disah barah hati tahap empat

            PROFIL kesihatan dirinya menunjukkan dia lelaki sihat, apalagi bergelar pelari maraton. Malah Ismail Zakri Md Khalid, 62, menjalani kehidupan berkualiti dan sihat sehinggalah dia tiba-tiba rebah dan pengsan pada November 2008. Ketika itu, keluarganya hampir pasti ia akibat serangan jantung, namun masih sukar menerima hakikat kerana keadaan fizikal dan tahap kecergasan bapa tiga anak itu begitu memuaskan.
            “Bukan saja agak cerewet mengenai pemakanan dan diet, saya juga gemar berjoging... jarang sekali ponteng gimnasium untuk bersenam. Malah aktiviti sosial bersama rakan sentiasa terisi dan boleh dikatakan saya dikelilingi insan tersayang dan rakan-rakan setiap masa.
            “Bayangkan selama 25 tahun, saya bukan saja aktif menyertai maraton tetapi juga berjaya mengekalkan berat badan pada 70 kilogram secara konsisten,” katanya ketika ditemui pada majlis perhimpunan peserta program bantuan pesakit NexPAP untuk rawatan barah hati `Raikan Peluang Kedua Dalam Hidup’ anjuran Bayer HealthCare dan Yayasan Hati Malaysia sempena Hari Bapa, baru-baru ini.

            Biarpun nampak sihat dan hidup aktif, dari segi latar belakang kesihatan, Ismail dikesan menghidap Hepatitis B sejak 1985. Walaupun tidak menjalani rawatan, dia memantau keadaan hatinya dari semasa ke semasa dan dalam keadaan terkawal. Ismail mengakui terlalu kerap mengambil aspirin setiap kali hidung berair atau selesema.

            Selepas menjalani ujian imbasan, doktor mengesan ketumbuhan yang besar begitu hampir dengan jantungnya. Pembedahan jantung terbuka terus dijalankan dan keluarga terkejut dengan hasilnya. Ketumbuhan yang dikesan rupanya berasal dari hati dan sudah terlambat untuk sebarang pembedahan kerana sudah berada pada tahap empat.

            Bukan itu saja, kemoterapi juga sudah tidak sesuai kerana faktor usia. Pilihan yang ada adalah menyertai program terapi anti barah secara oral, Sorafenib.
            “Berhadapan hakikat saya kini penghidap barah hati tahap empat terlalu sukar untuk ditelan, pilihan rawatan yang ada hanyalah ubat anti barah oral, sorafenib yang disarankan pakar. Mujur isteri, anak-anak dan rakan-rakan sentiasa di sisi untuk memberikan doa, semangat serta dorongan.

            “Tiada pilihan lain, saya hanya kuatkan diri dan serahkan semuanya kepada Allah SWT,” katanya.

            Pada Februari lalu, Ismail mula menyertai program percubaan sorafenib, tetapi mengalami kesan sampingan awal iaitu pendarahan dalam perut lalu cubaan peringkat awal itu dihentikan. Dia beralih mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta, namun pakar di hospital berkenaan tetap menyarankan program rawatan anti barah sorafenib.

            “Anak-anak membantah cadangan itu kerana kesan sampingan serius yang pernah saya lalui. Saya faham perasaan mereka yang tidak mahu melihat saya menderita, namun hati saya akan tambah parah jika tidak dirawat segera. Lebih membimbangkan lagi tubuh akan bertambah lemah dan jangka hayat bertambah singkat,” tambahnya dalam nada sayu.

            Ismail percaya dengan program berkenaan dan sanggup menghadapi segala macam kesan sampingan asalkan dia boleh hidup lebih lama dan punya lebih peluang untuk bersama insan tersayang.

            Seperti dijangka, biarpun mengalami kesan sampingan seperti kulit melepuh, dia tabah dan cekal meneruskan rawatan. Lama kelamaan, kesan sampingan mula berkurangan dan kini Ismail mampu menikmati hidup lebih berkualiti.

            “Sejak disahkan menghidap barah hati, hidup saya berubah sepenuhnya terutama selepas empat bulan mengikuti program sorafenib. Hubungan dengan anak-anak juga tambah akrab dan saya mahu mereka menerima hakikat bahawa biarpun ada perkara tidak mungkin dapat diubah, mereka boleh sentiasa berdoa dan berharap,” katanya.

            Ismail berharap sesiapa saja yang berhadapan penyakit serius atau apa saja masalah supaya menanam sikap positif, tidak putus asa berusaha, berdoa dan akhirnya reda dengan ketentuan Allah SWT.
            tamat

            Rawatan bantu pesakit barah hati, ringan beban kewangan

            HEPATOCELLULAR Carcinoma (HCC) atau barah hati meragut nyawa hampir 610,000 penduduk dunia setiap tahun. Ia menyerang lebih ramai lelaki, mencecah tiga kali berbanding wanita. Di Malaysia, barah hati adalah barah kelima paling biasa dihidapi lelaki, mencatatkan 5.7 kejadian bagi setiap 100,000 penduduk.

            Penyakit ini biasanya dihidapi lelaki berusia 50 hingga 60 tahun terutama di beberapa bahagian benua Afrika dan Asia berbanding utara atau selatan Amerika dan Eropah.

            Tidak seperti barah hati metastatik, HCC tidak bermula dari organ lain - seperti barah payu dara atau kolon - dan mula merebak ke hati. Dalam kebanyakan kes, punca biasanya adalah parut pada hati atau chirrhosis.

            Chirrhosis boleh disebabkan oleh alkohol (penyebab utama di Amerika Syarikat), masalah auto imun, penyakit yang menyebabkan radang berpanjangan di hati, Hepatitis B atau C dan terlalu banyak iron dalam tubuh (hemochromatosis).

            Pesakit yang menghidap Hepatitis B atau C berhadapan risiko mendapat barah hati walaupun tidak mengalami chirrhosis.

            Barah hati sukar dirawat kerana kemoterapi biasa tidak berkesan. Ia hanya boleh dirawat jika dikesan di peringkat awal sebelum merebak dan jika pesakit cukup sihat untuk menjalani pembedahan.

            Bagaimanapun pembedahan selalunya tidak dapat dilakukan kerana penyakit dikesan terlalu lewat disebabkan gejalanya yang hanya dilihat di peringkat lanjutan. Ramai pesakit meninggal dunia dalam masa setahun selepas diagnosis dan kerana itu juga barah hati dikenali sebagai pembunuh senyap.

            Apabila seseorang disahkan menghidap HCC, jangkaan untuk rawatan yang berkesan agak tipis kerana hakikatnya hanya 10 hingga 20 peratus HCC yang boleh dibuang sepenuhnya menerusi pembedahan. Sekiranya barah tidak dapat dibuang sepenuhnya, penyakit ini biasanya boleh membawa maut dalam masa tiga hingga enam bulan.

            Kelangsungan hidup berbeza mengikut pesakit dan dalam kes tertentu, jangka hayat pesakit boleh dilanjutkan sehingga enam bulan. Antara komplikasi yang dihadapi adalah pendarahan dalam perut, kegagalan hati dan merebaknya (metastasis) carcinoma.

            Pakar Perunding Onkologi, Dr Matin Mellor Abdullah, berkata buat masa ini sorafenib adalah satu-satunya rawatan anti barah oral yang boleh didapati dan program NexPAP yang dilancarkan hasil kerjasama Bayer HealthCare dan Yayasan Hati Malaysia bertujuan membantu membawa perubahan ke dalam hidup pesakit dan keluarga mereka.

            “Dengan pilihan rawatan berkesan seperti ubat sorafenib, kami boleh membantu membaiki peluang pesakit untuk hidup dan meringankan beban kewangan untuk kos rawatan,” katanya pada majlis meraikan peserta program bantuan pesakit NexPAP untuk rawatan barah hati `Raikan Peluang Kedua Dalam Hidup’ sempena Hari Bapa, baru-baru ini.

            Sebagai satu-satunya ubat oral yang diluluskan Kementerian Kesihatan untuk merawat barah hati, sorafenib salah satu kelas baru terapi barah yang bertindak dengan mensasarkan dan menyekat protein isyarat dalam sel untuk menghentikan pertambahan sel tumor dan juga menyekat bekalan darah ke tumor.

            Terapi dengan sasaran khusus ini ditujukan kepada sel barah dan boleh dikatakan tidak menjejaskan sel biasa.

            HCC mungkin tidak dapat diubati namun ia boleh dicegah antaranya dengan merawat virus Hepatitis B yang mampu mengurangkan risiko. Mengikuti jadual vaksin Hepatitis B ketika kanak-kanak mampu mengurangkan risiko barah hati pada masa depan.

            Elak pengambilan alkohol berlebihan, malah ada pesakit tertentu yang mendapat manfaat daripada ujian saringan hemochromatosis. Sekiranya anda mengalami hepatitis kronik atau chirrhosis, saringan dan pemeriksaan berkala dengan ultrasound hati atau dengan mengukur tahap alpha fetoprotein darah dapat membantu mengesan barah di peringkat awal.

            Mereka yang mahu mengikuti Program NexPAP, boleh menghantar permohonan disertakan surat rujukan doktor kepada Yayasan Hati Malaysia. Maklumat lanjut Yayasan Hati Malaysia di talian 03-78426101.

            INFO: Antara simptom barah hati


          • Hilang berat badan

          • Hilang selera makan

          • Terlalu kenyang walau makan sedikit

          • Ketulan keras sebelah kanan di bawah tulang rusuk

          • Sakit sekitar bahu kanan

          • Kuning kehijauan pada kulit dan mata (jaundice)

          • Kurang selesa, rengsa bahagian atas perut sebelah kanan

          • Kelesuan.

          • Oleh Suzan Ahmad
            Sumber Berita Harian 2011

            Sumber penyambung hayat

            Amalan derma darah memanfaatkan diri, masyarakat

            SETIAP kali Ramadan dan menjelang Aidilfitri di negara ini, jumlah penderma darah biasanya akan turun mendadak kerana dianggarkan sebahagian besar penderma adalah dalam kalangan orang Islam. Keadaan ini diburukkan lagi apabila musim balik kampung bermula.
            Ketibaan Ramadan juga selalunya mencetuskan persoalan atau kekeliruan, bolehkah orang Islam yang berpuasa menderma darah. Kekeliruan itu sebelum ini sudah banyak diperjelaskan, menderma darah pada Ramadan bukan saja mendatangkan pahala tetapi juga selamat dilakukan dengan beberapa syarat.
            Penderma yang datang secara sukarela dan berterusan sewajarnya dijadikan ikon kerana mereka adalah golongan penderma yang selamat kerana amalan cara hidup sihat serta melepasi proses saringan setiap kali pendermaan. - Dr Roshida Hassan
            Menderma darah pada bulan puasa seelok-eloknya pada waktu pagi, tetapi mesti memastikan diri sihat dan mematuhi kriteria yang ditetapkan seperti proses menderma pada hari biasa. Untuk memastikan tubuh benar-benar sihat, hendaklah bangun bersahur dan banyakkan minum air di antara waktu berbuka dan imsak.

            Darah diibarat sumber penyambung hayat yang tiada galang gantinya. Negara kita bertuah kerana wujudnya sistem perkhidmatan pemindahan darah terancang yang berkembang selari dengan pembangunan. Kutipan darah di negara ini meningkat berkali ganda sejak kempen menderma darah mula dijalankan seawal 1950-an lagi.

            Pada 2010, sebanyak 590,517 unit darah dikutip di seluruh negara dan seramai 315,235 pesakit menerima manfaat daripadanya atau purata 864 pesakit mendapat perkhidmatan pemindahan darah setiap hari sebagai prosedur penyelamat nyawa.

            Di Wilayah Persekutuan, 141,855 unit darah dikutip pada 2010 secara sukarela dan ia adalah 24 peratus daripada jumlah kutipan peringkat nasional. Malah ada penderma aferesis yang sudi datang setiap dua minggu sekali ke Pusat Darah Negara (PDN) untuk menderma plasma dan platelet.
            Kaedah aferesis hanya mengambil platelet dan plasma darah penting untuk rawatan penyakit seperti barah, leukemia dan demam denggi.

            Pada majlis sambutan Karnival Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2011, baru-baru ini, Pengarah PDN, Dr Roshida Hassan menjelaskan matlamat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) adalah menggalakkan penduduk dunia menjadi penyelamat dengan menderma darah secara secara sukarela dan berterusan.

            “Penderma yang datang secara sukarela dan berterusan sewajarnya dijadikan ikon kerana kita percaya mereka adalah golongan penderma yang selamat kerana amalan cara hidup sihat serta melepasi proses saringan setiap kali pendermaan,” katanya.

            Sejumlah 1,346,107 unit komponen darah dikutip pada 2010 dan daripada jumlah itu, 771,191 unit digunakan bagi rawatan pesakit. Sebahagian plasma yang didermakan dihantar ke Australia untuk diproses bagi menghasilkan produk seperti Faktor VIII, Faktor IX, Immunoglobin dan Albumin untuk merawat penyakit tertentu seperti Hemofilia.

            Kemajuan dalam perkhidmatan pemindahan darah pada hari ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sumbangan bakti penderma yang sedia meluangkan masa serta membelanjakan wang sendiri datang ke tabung darah dan lokasi kempen untuk menderma.

            Tidak dinafikan permintaan darah dan produk darah daripada hospital atau klinik swasta turut meningkat dari tahun ke tahun. Setiap tahun dianggarkan 35 peratus daripada jumlah kutipan darah dari PDN dibekalkan kepada hospital dan klinik swasta di sekitar Lembah Klang.

            Persepsi negatif menderma darah boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti kegemukan, rasa tidak selesa dan lemah perlu dikikis. Menderma darah seharusnya dipandang sebagai proses memberi manfaat bukan saja kepada masyarakat tetapi kepada penderma.

            Oleh Suzan Ahmad
            Sumber Berita Harian 2011