Wednesday 7 September 2011

Usah salahkan makanan

pix_gal0
Amalkan makan berpada, status kesihatan ketika musim perayaan

SELEPAS sebulan melatih diri berlapar dan dahaga serta mendisiplinkan tubuh kerana berpuasa, kehadiran Aidilfitri menyaksikan ramai kembali bebas mengamalkan diet asal. Malangnya, diet asal itu menjadi lebih berat apabila perut ‘dikejutkan’ dengan pelbagai hidangan sarat di rumah terbuka atau ketika mengunjungi rumah sanak saudara, termasuklah pada hari ini.
Aktiviti menziarahi sanak saudara juga bermakna setiap kali mereka akan makan dan minum menyebabkan jumlah pengambilan makanan seharian berganda. Selain juadah yang mewah minyak dan lemak, minumannya pula terlebih manis dalam bentuk air berkarbonat.
Lalu timbul persoalan - bagaimana mahu mendapatkan makanan ‘baik’ atau berkhasiat dan mengelak makanan tidak baik atau berisiko. Hakikatnya, aspek pemakanan sedemikian terlalu subjektif untuk dibincangkan kerana berkait rapat dengan persepsi. Ia perlu dilihat dari beberapa sudut seperti kesannya terhadap individu normal yang sihat, yang berpenyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi, kanak-kanak yang sedang membesar dan ibu mengandung (kelompok dengan hal kesihatan yang berbangkit).

Bagi mereka yang berpenyakit dan wanita mengandung, diet mereka tertakluk kepada makanan yang mengandungi keseimbangan nutrisi, vitamin dan mineral selain pengambilan ubat-ubatan dan suntikan. Bila tiba Aidilfitri, mereka perlu mengubahsuai pengambilan makanan mengikut keperluan dan bukannya perasaan.

Menurut Perunding Saringan dan Kecemasan, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Abu Hassan Samad, agak malang kerana kebanyakannya tidak kembali kepada diet yang normal kerana bermulanya fasa menjamu selera ketika berkunjung ke rumah sanak saudara tidak ketinggalan diteruskan dengan tradisi majlis rumah terbuka sepanjang Syawal.

“Aktiviti menziarahi sanak saudara juga bermakna setiap kali mereka akan makan dan minum menyebabkan jumlah pengambilan makanan seharian berganda. Tidak hairanlah ramai yang gagal menurunkan berat badan malah semakin meningkat selepas berpuasa dan minggu pertama Aidilfitri.”
Dari segi teknikalnya, berat badan sepatutnya berkurangan, tetapi dengan pilihan pelbagai makanan di bazar Ramadan, bufet berbuka puasa di hotel tidak ketinggalan mengambil makan lewat malam, Ramadan dan Aidilfitri menjadi cabaran kepada golongan ini.

Apa yang boleh dilakukan tanpa membelakangkan budaya kunjung mengunjung sambil menjamu selera dengan pelbagai juadah yang terhidang adalah dengan mengekalkan garis panduan asas iaitu pengambilan karbohidrat yang kerap namun berpada dan bersamaan dengan jumlah pengambilan karbohidrat sehari.

Elakkan sikap pantang jumpa dan suka mencuba makanan baru. Selagi anda berdisiplin dan mengikuti garis panduan dan prinsip asas ini, kesejahteraan diri pasti akan dicapai. Bagi pesakit yang mengambil ubat kencing manis, darah tinggi atau kolesterol, mereka boleh mengubahsuai ubatan mengikut diet yang sesuai.

Paling utama, amalkan disiplin diri. Jangan makan terlalu banyak dan beringat sebelum kena. Tidak salah untuk menjamu selera pada hari raya, tetapi hadkan pada hari pertama saja. Janganlah pula amalan itu berterusan selama sebulan. Masuk hari kedua, buatlah pengubahsuaian terutama pesakit yang mengambil insulin dan perlu menjaga kadar gula dalam darah.

Tiada istilah makanan baik dan tidak baik kerana hakikatnya makanan hadir sebagai sumber nutrisi kepada manusia. Apa yang berlaku adalah, setengah makanan membekalkan lebih nutrisi, mineral dan vitamin serta manfaat dari segi kesihatan berbanding makanan lain. Ini termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan juga daging. Makanan yang diproses tidak begitu baik untuk anda memandangkan ia mengandungi lemak, dan biasanya sedikit saja nutrisi berbanding makanan dalam keadaan semula jadi.

“Memandangkan ada makanan yang banyak lemak, protin, vitamin jadi prinsip terbaik adalah menggunakan kebijaksanaan untuk mendapatkan diet yang seimbang dan memadai untuk keperluan tubuh. Keperluan lelaki dewasa tidak akan sama dengan seorang kanak-kanak yang sedang membesar. Biarpun dengan pengambilan karbohidrat dan protin yang banyak tidak akan memudaratkan anak-anak ini kerana mereka kekal aktif.

Sementara orang dewasa perlu mengubahsuai jumlah dan jenis makanan dengan keperluan tubuh lebih-lebih lagi mereka yang tidak aktif dan tidak bersenam. Elakkan memakan banyak makanan berlemak dan tinggi karbohidrat.

Apa yang membuatkan makanan mendapat persepsi buruk adalah kerana amalan gaya hidup manusia itu sendiri. Kita memilih makanan yang tidak sesuai dan berpadanan dengan keperluan tubuh sedangkan kesihatan dan kesejahteraan bergantung sepenuhnya kepada nutrisi, vitamin dan mineral. Jangan sesekali menyalahkan makanan yang terhidang kerana ia wujud atas alasan yang baik dan betul.

Info

Tip diet lebaran



  • Kekalkan pengambilan karbohidrat kerap tapi berpada.

  • Elakkan sikap pantang jumpa dan suka mencuba makanan baru.

  • Pesakit yang mengambil ubat kencing manis, darah tinggi atau kolesterol, boleh mengubahsuai ubatan mengikut diet yang sesuai.

  • Paling utama, amalkan disiplin diri. Tidak salah untuk menjamu selera pada hari raya, tetapi hadkan pada hari pertama saja. Janganlah pula amalan itu berterusan selama sebulan.

  • Masuk hari kedua, buatlah pengubahsuaian terutama pesakit yang mengambil insulin dan perlu menjaga kadar gula dalam darah.

  • Elakkan memakan banyak makanan berlemak dan tinggi karbohidrat.


    Kurang gula, garam, minyak

    Gula sebenarnya boleh wujud secara semula jadi (dalam buah-buahan, sayur-sayuran berkanji, susu dan hasil tenusu) atau secara tersembunyi (gula yang ditambah semasa memproses makanan dan semasa memasak di rumah. Contohnya minuman ringan, minuman kordial, minuman bergula, gula-gula serta kuih-muih tradisional).

    Mengurangkan gula

    Perlu diingat, pengambilan gula yang sederhana dalam sehari adalah dalam lingkungan 10 sudu teh (50 gram) termasuk bagi gula semula jadi atau gula tersembunyi. Namun gula dalam minuman adalah amat berbahaya kerana badan kita tidak dapat tukarkan gula ini kepada tenaga. Gula yang terkumpul ini akan ditukar kepada lemak yang menyebabkan seseorang itu gemuk dan berisiko mengidap penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung. Gigi juga boleh rosak.

    Mengurangkan garam

    Garam diperlukan dalam menyedapkan juadah makanan. Tetapi pengambilan garam secara berlebihan membahayakan kesihatan. Kita memerlukan garam dalam kuantiti yang sedikit. Ini kerana garam yang berlebihan berkait dengan tekanan darah tinggi. Jadi, sepanjang lebaran pastikan tidak menggunakan garam secara berlebihan. Selain itu, bahan-bahan makanan seperti herba (kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang) boleh juga dijadikan pengganti dalam menyedapkan juadah. Bahan-bahan seperti ini kurang bahan perisa dan ia juga mempunyai khasiat tersendiri yang baik untuk kesihatan.

    Mengurangkan minyak

    Apabila menjelang lebaran, masyarakat kita banyak menggunakan minyak dalam masakan. Ini ditambah pula dengan penggunaan santan untuk membuat rendang sedangkan minyak yang berlebihan dalam masakan boleh mengundang penyakit. Untuk rendang, cuba elakkan menggunakan minyak masak. Cukuplah hanya menggunakan santan sahaja kerana santan boleh bertindak sebagai minyak. Jadi, apabila minyak dan santan digunakan sekali, ia menyebabkan minyak berlebihan.

    Melebihkan buah-buahan

    Makanan ini sering dilupakan semasa menghidang juadah semasa lebaran. Apa kata, gunakan buah-buahan untuk dijadikan pengganti pemanis mulut. Buah-buahan pelbagai rasa, warna, bentuk dapat menarik tetamu. Lebih menarik, ia kaya vitamin C yang amat diperlukan badan.

    Melebihkan sayur-sayuran

    Selain hidangan daging dan ayam, sayur-sayuran yang kaya serat dan zat mineral ini juga boleh dijadikan juadah. Ini kerana kandungannya itu amat penting bagi tubuh dan sistem penghadaman. Kehadiran serat ini dapat membantu mengurangkan tahap kolesterol darah. Sehubungan itu, hidangan sayur-sayuran amat penting semasa menikmati juadah lebaran kerana dapat mengimbangi diet kita terutama sekali tahap kolesterol darah yang terhasil daripada pengambilan daging dan ayam. Misalnya, semasa memasak mi goreng, lebihkan sayur-sayuran sebagai rencah utama.     



  • Sumber: Kementerian Kesihatan 

    Sumber
    Suzan Ahmad
    suzan@bharian.com.my

    Saringan kesihatan elak penyakit kronik


    Dr. Haniza Abdul Jalil menyarankan agar saringan kesihatan dibuat secara berkala.


    SARINGAN kesihatan adalah kaedah perubatan pencegahan terkini yang menjadi perhatian kebanyakan masyarakat global.
    Ia bertujuan untuk mengesan penyakit lebih awal dan mendapatkan rawatan yang sesuai di peringkat awal sebelum ia menjadi kronik.
    Sekarang ini, masyarakat bukan lagi menunggu datangnya penyakit untuk mencari rawatan. Malah sebelum timbulnya simptom saringan kesihatan mampu memberi maklumat sebelum terbentuknya penyakit tersebut.
    Oleh itu, saringan kesihatan amat penting kerana lebih awal kita mendapat diagnosis yang tepat, maka lebih berjaya untuk menangani sesuatu penyakit itu sebaik mungkin.
    Sebagai contoh, serangan jantung merupakan penyakit yang makin menular dalam masyarakat.
    Sebanyak 50 peratus kes penyakit jantung hanya diketahui setelah mendapat serangan yang pertama dan seterusnya menyebabkan kematian mengejut akibat kegagalan fungsi jantung.
    Situasi itu dapat dicegah sekiranya pesakit melakukan saringan kesihatan yang lebih awal.
    Menurut Pakar Radiologi, Pusat Perubatan Iheal, Kuala Lumpur, Dr. Haniza Abdul Jalil, saringan kesihatan membolehkan seseorang itu mencegah penyakit kronik lebih awal.
    Dari situ mereka boleh mendapatkan rawatan yang sesuai di peringkat awal sebelum ia menjadi kronik dan menyebabkan kematian.
    Tambah beliau, saringan kesihatan lengkap terdiri daripada pelbagai aspek dengan pemeriksaan klinikal oleh pakar perubatan.
    Ujian-ujian yang asas termasuk ujian darah dan parameter-parameter yang tertentu seperti tahap gula/kolesterol, tekanan darah, ECG dan lain-lain.
    "Masa kini, terdapat banyak pakej-pakej saringan kesihatan yang menyeluruh dengan melaksanakan ujian-ujian tertentu termasuk pengimejan diagnostik.
    "Pengimejan diagnostik merangkumi imbasan seperti x-ray, mesin ultrasound, mamogram, pengimbas CT serta MRI.
    "Ia adalah langkah yang tidak bahaya cuma menggunakan imej imbasan untuk mengetahui apakah penyakit dalaman tanpa membedah buka badan seseorang," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
    Katanya, secara tidak langsung ia merupakan satu cara di mana saringan kesihatan mampu memberi maklumat mengenai dalaman seseorang itu.
    Berbicara lanjut mengenai saringan kesihatan, menurut Dr. Haniza, kini di Pusat Perubatan Iheal, mereka menggunakan mesin pengimbas CT yang terkini iaitu pengimbas CT 640 hirisan untuk imbasan spesifik mengikut penyakit setiap pesakit.
    Mesin ini merupakan yang pertama dan satu-satunya seumpamanya di Malaysia dan ia berupaya memberi imbasan yang tepat, tangkas dan mengurangkan dos dedahan radiasi ke aras yang minimum.
    Kelebihan itu tidak dapat ditandingi oleh mesin pengimbas CT yang lain.
    Ulas Dr. Haniza, mesin tersebut setanding dengan yang terdapat di negara-negara maju dan kini rakyat Malaysia juga boleh mendapatkan diagnosis dengan dos sinaran yang rendah.
    Apabila bercakap mengenai imbasan CT, umum pastinya takut terdedah dengan radiasi.
    Bagaimanapun, jelas Dr. Haniza, pengimbas CT 640 membolehkan dos radiasi menjadi amat rendah apabila imbasan dilakukan dengan cukup pantas, secepat 1/3 saat.
    Ini bermakna dalam sekelip mata imbasan itu siap. Dengan kepantasan itu pendedahan pada radiasi amat singkat dan dos radiasi juga menjadi amat rendah.
    Selain itu menurut, Dr. Haniza, CT640 berupaya mengimbas dalam satu putaran dan dapat memberi satu gambaran sesuatu organ dengan jelas dan amat tepat.
    "Contohnya, CT koronari arteri di mana saluran darah kepada jantung dapat dianalisis dengan dos serendah 1-2 msv sahaja. Pesakit jantung berupaya mendapatkan diagnosis yang tepat dan pesakit juga didaftar sebagai pesakit luar tanpa perlu dimasukan ke hospital dan tidak invasif.
    "Keputusan ujian akan terus diberi kepada pesakit pada hari yang sama. Selain untuk saringan jantung, mesin ini mempunyai keupayaan untuk melihat perfusi otak yang merangkumi keseluruhan otak dalam satu ujian.
    "Dengan mesin pengimbas CT 640 ini, kesemua ujian seperti CT arteri otak, CT vena otak dan CT perfusi otak dapat dilaksanakan serentak dengan dos radiasi yang rendah dan inilah kelebihan lain yang terdapat pada mesin pengimbas ini,'' katanya.
    Sebilangan masyarakat hari ini akan bertanya, adakah radiasi boleh menyebabkan kanser?
    Jelas Dr. Haniza, dos radiasi yang rendah yang digunakan dalam pengimejan diagnostik adalah amat rendah untuk dikaitkan dengan risiko kanser.
    Malah katanya, jika dibandingkan dengan risiko-risiko relatif, penghisap rokok mempunyai risiko kanser yang jauh lebih tinggi.
    Dengan itu harus sedar ketakutan terhadap radiasi dibandingkan dengan faedah mengetahui diagnosis yang mampu mencegah penyakit merupakan perspektif yang harus diatasi.
    Dr. Haniza turut merumuskan, saringan kesihatan yang dilaksanakan dengan dos sinaran paling rendah lebih mendatangkan faedah kerana ia dapat mengesan penyakit lebih awal dan dapat diberi rawatan sebelum ia terlewat.

    Sumber
    MARIATUL QATIAH ZAKARIA
    maria.zakaria@utusan.com.my
    Gambar JEFRI IRAN