Monday 29 August 2011

Sumber penyambung hayat

Amalan derma darah memanfaatkan diri, masyarakat

SETIAP kali Ramadan dan menjelang Aidilfitri di negara ini, jumlah penderma darah biasanya akan turun mendadak kerana dianggarkan sebahagian besar penderma adalah dalam kalangan orang Islam. Keadaan ini diburukkan lagi apabila musim balik kampung bermula.
Ketibaan Ramadan juga selalunya mencetuskan persoalan atau kekeliruan, bolehkah orang Islam yang berpuasa menderma darah. Kekeliruan itu sebelum ini sudah banyak diperjelaskan, menderma darah pada Ramadan bukan saja mendatangkan pahala tetapi juga selamat dilakukan dengan beberapa syarat.
Penderma yang datang secara sukarela dan berterusan sewajarnya dijadikan ikon kerana mereka adalah golongan penderma yang selamat kerana amalan cara hidup sihat serta melepasi proses saringan setiap kali pendermaan. - Dr Roshida Hassan
Menderma darah pada bulan puasa seelok-eloknya pada waktu pagi, tetapi mesti memastikan diri sihat dan mematuhi kriteria yang ditetapkan seperti proses menderma pada hari biasa. Untuk memastikan tubuh benar-benar sihat, hendaklah bangun bersahur dan banyakkan minum air di antara waktu berbuka dan imsak.

Darah diibarat sumber penyambung hayat yang tiada galang gantinya. Negara kita bertuah kerana wujudnya sistem perkhidmatan pemindahan darah terancang yang berkembang selari dengan pembangunan. Kutipan darah di negara ini meningkat berkali ganda sejak kempen menderma darah mula dijalankan seawal 1950-an lagi.

Pada 2010, sebanyak 590,517 unit darah dikutip di seluruh negara dan seramai 315,235 pesakit menerima manfaat daripadanya atau purata 864 pesakit mendapat perkhidmatan pemindahan darah setiap hari sebagai prosedur penyelamat nyawa.

Di Wilayah Persekutuan, 141,855 unit darah dikutip pada 2010 secara sukarela dan ia adalah 24 peratus daripada jumlah kutipan peringkat nasional. Malah ada penderma aferesis yang sudi datang setiap dua minggu sekali ke Pusat Darah Negara (PDN) untuk menderma plasma dan platelet.
Kaedah aferesis hanya mengambil platelet dan plasma darah penting untuk rawatan penyakit seperti barah, leukemia dan demam denggi.

Pada majlis sambutan Karnival Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2011, baru-baru ini, Pengarah PDN, Dr Roshida Hassan menjelaskan matlamat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) adalah menggalakkan penduduk dunia menjadi penyelamat dengan menderma darah secara secara sukarela dan berterusan.

“Penderma yang datang secara sukarela dan berterusan sewajarnya dijadikan ikon kerana kita percaya mereka adalah golongan penderma yang selamat kerana amalan cara hidup sihat serta melepasi proses saringan setiap kali pendermaan,” katanya.

Sejumlah 1,346,107 unit komponen darah dikutip pada 2010 dan daripada jumlah itu, 771,191 unit digunakan bagi rawatan pesakit. Sebahagian plasma yang didermakan dihantar ke Australia untuk diproses bagi menghasilkan produk seperti Faktor VIII, Faktor IX, Immunoglobin dan Albumin untuk merawat penyakit tertentu seperti Hemofilia.

Kemajuan dalam perkhidmatan pemindahan darah pada hari ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa sumbangan bakti penderma yang sedia meluangkan masa serta membelanjakan wang sendiri datang ke tabung darah dan lokasi kempen untuk menderma.

Tidak dinafikan permintaan darah dan produk darah daripada hospital atau klinik swasta turut meningkat dari tahun ke tahun. Setiap tahun dianggarkan 35 peratus daripada jumlah kutipan darah dari PDN dibekalkan kepada hospital dan klinik swasta di sekitar Lembah Klang.

Persepsi negatif menderma darah boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan seperti kegemukan, rasa tidak selesa dan lemah perlu dikikis. Menderma darah seharusnya dipandang sebagai proses memberi manfaat bukan saja kepada masyarakat tetapi kepada penderma.

Oleh Suzan Ahmad
Sumber Berita Harian 2011

No comments:

Post a Comment