Tuesday 30 August 2011

Ulser mulut

Kenapa kerap kena ulser mulut
Ulser mulut adalah luka di dalam kawasan lembut mulut anda. Ulser ini nampak seperti tompokan warna putih. Ulser mulut boleh terjadi berulang kali,ia mungkin dalam satu tompok atau berkumpulan,2 hingga 5 tompok. Ulser akan sembuh tanpa meninggalkan parut. Penyakit ulser ini kerap berlaku di bahagian pipi dan ada kalanya di bahagian lidah dan gusi.

 

      Simptom-simptom ulser mulut



Tompokan warna putih dan terasa sakit apabila bersentuhan dengan makanan. Tompokan ini boleh berlarutan 7 hingga 14 hari. Ulser mulut menyebabkan anda hilang selera untuk makan dan minum kerana sakit mulut. Kadangkala anda berasa malas untuk bertutur.

 

      Mengapa ulser mulut boleh terjadi?



  • Jangkitan bakteria, virus atau fungus.
  • Kesemua golongan umur boleh terkena penyakit mulut ulser.
  • Ulser boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengenal umur.
  • Ulser juga boleh disebabkan kerana kecederaan fizikal seperti tergigit bibir atau lidah dan terkena dawai alat ortodontik.
  • Pengambilan zat besi, asid folik dan vitamin B 12 yang tidak mencukupi.
  • Sistem imuniti badan yang lemah
  • Alahan
  • Radioterapi
  • Kimioterapi
  • Sebab-sebab yang tidak diketahui.

 

         Kaedah menangani ulser mulut



Jika anak atau anda kerap mengalami ulser,amalkan, Penjagaan kesihatan mulut yang baik seperti:

  • Pemeriksaan gigi berkala
  • Gigi yang bersih
  • Amalkan makan secara sihat
  • Elakkan pengambilan jus yang masam dan makanan pedas.


        Petua merawat ulser di mulut



  • Gunakan pencuci antiseptik mulut
  • Sapu ubat ulser mulut seperti gel atau krim penahan sakit
  • Makan makanan lembut
  • Elakkan makan makanan panas dan pedas
  • Banyakkan minum air

Jika sakit ulser berterusan melebihi 14 hari,dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor


Sumber  http://www.cybermedik.com

Kembung perut atau perut kembung

Cara-cara mengatasi kembung perut


Kedua-dua perkataan di atas adalah sama ertinya. Perut kembung atau kembung perut ialah reaksi angin perut. Apabila anda makan,minum dan menelan bersama air liur,kadangkala badan bertindak mengeluarkan angin berlebihan. Kembung perut tidak semestinya akan mengeluarkan bunyi. Bunyi ini dikenali juga dengan sendawa. Bunyi sendawa ada kalanya merimaskan dan memalukan. Semua peringkat umur mengalami masalah perut kembung. Secara purata kebanyakan manusia melepaskan gas 15 kali hingga 40 kali setiap hari.

 

Apakah penyebab perut kembung


Anda akan mengalami perut kembung mungkin disebabkan keadaan-keadaan ini:
  • Bila tertekan atau stress biasanya anda akan menelan lebih banyak angin.
  • Tabiat mengunyah gula-gula getah atau mengulum gula-gula yang keras.
  • Merokok
  • Makan atau minum terlalu cepat. Apabila makan terlalu cepat, anda menelan lebih banyak udara dan menyebabkan masalah sedia ada bertambah buruk.
  • Minuman berkarbonat mengandungi karbon dioksida. Gas ini akan menghasilkan lebih banyak gas di dalam perut. Minuman ini boleh menyebabkan keradangan perut atau penyakit gastritis.
  • Bakteria Helicobacter pylori berkait rapat dengan gastritis kronik. Apabila bakteria ini masuk ke dalam perut, ia menyebabkan masalah perut yang berpanjangan.
  • Lemak mengambil masa untuk hadam. Ini menyebabkan gas terkumpul dalam perut.
  • Pemasangan gigi palsu yang tidak sempurna dan sesuai.Ini menyebabkan anda akan menelan lebih banyak udara.
  • Penghadaman  makanan tidak sempurna. Karbohidrat, seperti kanji,serat dan tidak dapat diserap di dalam usus perut akibat kekurangan atau ketiadaan enzim tertentu. Baki makanan tidak diserap akan berpindah dari usus kecil ke usus besar. Bakteria usus besar akan memecahkannya dan menghasilkan gas hidrogen,karbon dioksida dan metana. Gas ini keluar melalui dubur atau dipanggil kentut.

 

Bagaimana mengenal pasti ia bukan kembung perut


Walaupun perut kembung tidak berbahaya, ia menandakan ketidaksempurnaan penghadaman sistem pencernaan makanan anda.
Angin adalah kesan lebihan gas di dalam usus. Sekiranya angin ini diikuti dengan gejala lain seperti;
  1. Sakit perut berpanjangan
  2. Najis berdarah.
  3. Najis berwarna pucat dari kebiasaan
  4. Sembelit
  5. Kehilangan berat badan mendadak
Anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk menjalani ujian saringan penyakit usus jika mempunyai gejala-gejala penyakit seperti di atas.
Penyebab perut kembung ialah:
  • Ketidakhadaman
  • Penyakit seliak (coeliac disease)
  • Gastroenteritis
  • Irritable bowel syndrome (IBS)
  • Diverticulosis atau diverticulitis
  • Ulser perut

 

Tanda-tanda yang berhubung-kait dengan perut kembung

 
Sendawa
Bunyi yang disebabkan oleh gas yag dilepaskan melalui mulut secara tiba tiba .
Keadaan ini berlaku apabila perut dipenuhi dengan angin perut berlebihan yang biasanya daripada pemakanan, minuman atau merokok.
 
Perut meragam
Apabila perut bertindak balas dengan cepat , ini menyebabkan isi perut bergerak ke depan dan belakang.
Kebiasaannya berlaku apabila anda lapar murung atau berdebar debar.

 

Rawatan kembung perut


Kaedah rawatan kembung perut boleh dilakukan dengan:

 

Rawatan pemakanan


Kembung perut biasanya dirawat dengan rawatan pemakanan. Pengubahsuaian cara hidup
dan juga ubatan tanpa preskripsi doktor juga adakala boleh membantu. Penyelesaian tidak
sama untuk setiap orang, namun dengan cubaan demi cubaan kebanyakan pesakit akan
menemui cara penyembuhan yang sesuai.

 

Rawatan kembung perut dengan ubat



Sesetengah ubat tanpa preskripsi doktor boleh membantu , anda boleh mencuba:
  • Suplemen Laktosa
Jika anda mengalami masalah penghadaman laktosa, enzim laktosa boleh diambil untuk membantu mencernakan laktosa . Anda juga boleh mencuba produk tenusu tanpa laktosa yang terdapat di kebanyakan kedai dan farmasi.
  • Simethicone
Semithicone membantu memecahkan gelembung gas dan sendawa yang berterusan. Semithicone mudah didapati di klinik,kedai ubat dan farmasi.
  • Activated charcoal
Pil activated charcoal bertindah seperti semithicone. Anda boleh mengambilnya sebelum dan selepas makan dan boleh didapati di farmasi,klinik dan kedai ubat.

 

Masalah perut kembung

  • Terlalu merendah diri
  • Malu untuk bersosial

 

Cara mengatasi sering perut kembung


Anda terpaksa mengubah amalan pemakanan. Pengubahan  pemakanan membantu mengurangkan jumlah gas terhasil atau mengeluarkan angin perut dengan lebih cepat melalui sistem anda.
Cuba kenal pasti  makanan-makanan yang mungkin menyebabkan kembung perut seperti kacang, bawang, brokoli, bunga kubis, asparagus, buah pir, epal, buah pic, prun, gula-gula tanpa gula, dan gula-gula getah, roti gandum, bijirin bran, bir, soda dan minuman berkarbonat, susu, krim, aiskrim, dan susu ais.
Perut kembung terhasil daripada makanan berlemak. Lemak melambatkan proses pencernaan dan meningkatkan rasa perut yang penuh dan senak. Kurangkan makanan goreng dan berlemak.
Jika anda ingin mengambil suplemen serat, mulakan dengan beransur-ansur. Pastikan jumlah di ambil sekurang-kurangnya 250 ml. Kurangkan  pengambilan makanan tinggi serat seperti sayuran dan buah buat sementara waktu .
Kurangkan penggunaan produk tenusu harian anda. Gunakan produk tenusu laktosa rendah seperti yogurt.
Teh pudina  mengandungi menthol. Menthol di minyak pudina mempunyai sifat-sifat antispasmodic. Secawan teh pudina panas mengatasi perut kembung dan kesakitan berpunca dari angin perut. Elakkan teh pudina jika anda mengalami pedih Ulu hati.

 

Pengubahsuaian Cara Hidup kurangkan angin perut

 

  • Amalkan makan dengan jumlah makanan yang sedikit tetapi kerap. Elakkan makan pada jumlah yang besar.
  • Amalkan makan dan kunyah dengan perlahan-lahan. Elakkan dari terus menelan.
  • Elakkan gula-gula getah, gula-gula keras dan meminum menggunakan straw. Aktiviti
  • ini boleh menyebabkan anda menelan jumlah air yang banyak.
  • Makan ketika bimbang, cemas atau kecewa akan mengakibatkan perut kembung. Makan ketika ini akan menyebabkan ketidakhadaman dalam perut.  Makanlah dalam keadaan tenang dan perlahan lahan.
  • Kedudukan gigi palsu yang longgar menyebabkan udara berlebihan tertelan semasa makan dan minum. Periksa kedudukan gigi palsu anda.
  • Berhenti merokok. 

Sumber  http://www.cybermedik.com

Probiotik- penguat sistem imun?

Berbilion –bilion bakteria probiotik membantu proses penghadaman di dalam sistem penghadaman anda. Keseimbangan di antara bakteria baik dan jahat amat penting di dalam usus kita.
Keseimbangan ini dipengaruhi oleh faktor-faktor:
  • Makanan.
  • Kesihatan diri.
  • Usia.
  • Status sistem imun(pertahanan badan).
  • Stress(tekanan ).
  • Ubat-ubatan yang diambil.
Ketidakseimbangan akan menyebabkan kanser kolon atau penyakit Irritable bowel syndrome.

 

Probiotik dan manfaatnya didalam usus

 

Sistem imun


Probiotik akan meningkatkan paras cytokines dan menambah baik sel-sel pemusnah semula jadi. Akibatnya ia akan memberi kesan positif terhadap imunoglobulin.

 

Usus kecil dan usus besar


Probiotik berperanan besar di dalam masalah kesihatan seperti cirit-birit disebabkan rotavirus di kalangan kanak-kanak, cirit-birit pengembara dan cirit-birit disebabkan antibiotik.
Dengan mengambil probiotik anda juga dapat mengawal kesan-kesan keradangan usus besar(Irritable bowel syndrome), kolitis dan hepatitis disebabkan alkohol.
Asid laktik berkeupayaan membaiki sistem pergerakan ususdan mengurangkan sembelit.

 

Alergi


Tindakbalas alergi seperti ekzema,astma dan hay fever dapat dikurangkan dengan rawatan probiotik. Kajian mendapati Probiotik mempunyai kesan baik pada mukosa dan ia akan mengurangkan reaksi alergi.

 

Intoleransi laktosa


Bakteria asid laktik berkeupayaan untuk menguraikan laktosa. Dengan ini simptom-simptom intoleransi laktosa dapat dikurangkan.

 

Kanser usus besar


Pengamalan probiotik dapat mengurangkan risiko kanser kolon(usus besar). Kajian menunjukkan probiotik dapat mengurangkan bilangan sel tumor. 

Sumber  http://www.cybermedik.com

Tip rawatan sakit sendi dan tulang dirumah

Sakit sendi-glucosamine dan chondroitin

Rawatan sakit sendi dengan kaedah baikpulih.

Sakit sendi berlaku kepada semua peringkat umur.Anda tidak perlu hidup dengan sakit sendi.
Anda boleh menjalani kehidupan yang selesa dan sihat dengan pengurusan sakit sendi yang efektif

Rawatan sakit sendi dan ubat sakit sendi

Pengurusan rawatan sakit sendi merangkumi
Penggunaan ubat sakit sendi penahan sakit seperti voltaren dan naproxen atau celebrex
Pembinaan struktur sendi kartilej atau rawan dengan glucosamine dan chondroitin

Kenapa sakit sendi lutut.

Apabila rawan sendi anda menjadi haus disebabkan faktor umur dan cara penggunaanya, anda akan mengalami sakit sendi.
Rawan ini berfungsi sebagai penyerap hentakan dan melincinkan pergerakan. Jika anda tidak merawat proses ini ruang diantara sendi akan bergesel menyebabkan kesakitan.

Glukocosamine dan Chondroitin mana yang lebih baik.

Kedua-dua bahan glukosamin dan kondroitin adalah nutrien penting untuk pembentukan rawan sendi.
Glucosamine merupakan ramuan asas pembinaan tulang rawan anda dan Chondroitin mempercepatkan proses pembinaannya.
Anda boleh mengambil glucosamine sahaja, tetapi disyorkan ,mengambil glukosamin dan kondroitin secara serentak.
Oleh itu anda akan merasai proses sakit sendi berkurangan dengan cepat jika anda mengambil kedua-dua nutrien ini.
Chondroitin juga berfungsi membantu membawa air,nutrien, glucosamine, vitamin dan mineral kebahagian sendi.

Glucosamine sulfat atau glukosamin hidroklorida-mana patut dipilih

Anda akan menemui dua jenis glucosamine di pasaran iaitu Glucosamine Sulfat dan Glucosamine Hidroklorida.
Sulfat didalam glucosamine berkeupayaan untuk membawa molekul air kedalam rongga rawan, dan ini menyebabkan rawan ini lebih fleksibel.
Pergerakan sendi lebih selesa dan licin.
Glukosamine hidroklorida membentuk rawan yang lebih padat, tetapi kurang fleksibliti.

Ubat sakit sendi natural-dos yang disyorkan

Anda disyorkan mengambil Glukosamine 1500mg sehari dan Chondroitin  1200mg sehari.
Jika anda menghidapi penyakit darah tinggi elakkan glukosamin yang mengandungi sodium.

Hilang sakit sendi hidup pun ceria

Glucosamine dan chondroitin membantu mengurangkan haus rawan sendi anda secara efektif jika diambil serentak.Glukosamin dan kondroitin membina, memperbaiki dan mengekalkan
kesihatan sendi secara berterusan.
Mulakan pengambilan suplemntari glucosamine dan chondroitin jika anda mula mengalami sakit sendi lutu,sakit sendi tangan,sakit sendi kaki, sakit sendi bahu dan sakit sendi siku
Kekalkan kesihatan sendi anda supaya ia tidak menganggu pergerakan dan kehidupan anda

Sumber  http://www.cybermedik.com

Tip rawatan sakit sendi dan tulang dirumah

Penyakit sendi tulang

Sendi-sendi berfungsi untuk melicinkan pergerakan diantara pertemuan dua tulang.Sendi-sendi anda ada di
bahagian bahu, pergelangan tangan,punggung, lutut,buku lali,dan jari kaki dan tangan.
Penyakit sendi tulang terjadi tidak kira umur.

Sakit Sendi-kenapa terjadi

Biasanya anda tidak mempunyai kerosakan terhadap sendi dan tulang.
Kesakitan sendi berpunca dari lapisan kulit, otot, ligamen, sendi atau pangkal
saraf.

Kenapa anda mengalami kesakitan sendi.

  • Anda mungkin melakukan aktiviti yang berat seperti mengangkat berat,
  • Postur yang tidak elok, kecederaan atau pergerakan tidak betul dan menyebabkan terseliuh atau ligamen atau otot yang terkoyak menyebabkan sakit sendi
  • Obesiti
  • Kecacatan anggota
  • Kecederaan disebabkan kemalanga atau bersukan.
  • Sakit sendi arthritis
  • Sakit dari pangkal saraf (seperti saraf yang terhimpit
  • Penyakit tulang
  • Ketumbuhan
  • Jangkitan kuman
  • Penyakit kronik
  • Ubat-ubatan

Rawatan sakit sendi-bagaimana anda merawat sendiri sakit sendi tulang

  1. Sakit ringan akan reda dengan langkah-langkah mudah seperti
  2. merehatkan sendi dengan penggunaan pengampu(splint).
  3. Kenakan ais yang dilipat dalam tuala pada sendi yang tercedera sekurang-kurangnya 30 minit untuk mengurangkan bengkak dan kemerahan atau keradangan.
  4. Selangkan penggunaan pek sejuk dan panas selepas 3 hari. Urut lembut membantu peredaran darah
  5. Makan ubat sakit sendi seperti paracetamol(panadol).
  6. Kurangkan berat badan
  7. Guna kasut bertumit rendah

Sakit sendi-Bila Harus Berjumpa Doktor?

  1. Anda mengalami sakit berlarutan walaupun telah merawatnya sendiri
  2. Sakit sendi anda bertambah teruk dan tidak lega dengan ubat paracetamol.
  3. Anda patut berjumpa doktor jika sakit sendi disebabkan kecederaan
  4. Anda tidak berupaya untuk berkerja
  5. Sakit anda disertai dengan demam, muntah, sesak nafas, kebas dan lemah
  6. Anda mengalami penurunan berat badan yang serius
  7. Hilang keupayaan untuk mengawal buang air kecil atau besar
  8. Sakit sendi anda bengkak dan merah
  9. Anda penghidap HIV atau kanser

Rawatan sakit sendi dan pencegahan

  • Doktor anda akan memberi ubat sakit sendi seperti ponstan,voltaren atau naproxyen
  • Anda dinasihatkan untuk berihat jika membuat kerja-kerja berat
  • Doktor anda mungkin menasihatkan agar mengambil ubat Glucosamine dan chondroitin untuk nutrien sendi
  • Postur- elakkan berdiri atau berjalan secara bongkok
  • Tidur di atas tilam yang keras
  • Elakkan mengangkat barang berat semasa sakit
  • Bersenam - senaman kerap akan memastikan otot dan sendi berfungsi dengan lancar
  • Pengurangan berat badan boleh membantu
  • Amalkan regangan dan rehat apabila memandu terlalu lama, berdiri atau duduk
  • yang lama 

Sumber   http://www.cybermedik.com

Sakit jantung pembunuh utama

Sakit jantung merupakan pembunuh utama di Malaysia.
Pelbagai faktor yang mempengaruhi serangan jantung koronari anda.
Punca penyakit jantung anda  dibahagi kepada dua faktor, iaitu faktor boleh ubah dan faktor tidak boleh ubah,

Adakah anda mempunyai faktor boleh ubah ini:

 

  1. Gaya hidup tak aktif
  2. Tahap kolestrol tinggi
  3. Gaya ambilan makanan tidak sihat
  4. merokok
  5. Kegemukan
  6. Tekanan darah tinggi
  7. Kencing manis


Faktor ini anda harus terima iaitu faktor tidak boleh ubah:

 

  1. Sejarah keluarga
  2. Jantina( lelaki lebih berisiko)
  3. Umur 35 tahun keatas

 

Makanan berlemak dan sakit jantung

 

Kesemua faktor-faktor diatas secara umumnya berhubung-kait. Katakanlah  kesukaan anda mengambil makan tinggi lemak, terutama lemak tepu, lama kelamaan nilai kolestrol darah akan melebihi nilai 5.2 mmo/l iaitu paras normal. Anda pula tergolong dalam kategori tidak bersenam, maka berat badan anda bertambah melebehi nilai IJT( Indek Jisim Tubuh) 18.5-25. Jika anda mempunyai riwayat keluarga berpenyakit darah tinggi atau kencing manis atau kedua-duanya. Anda memang mempunyai risiko tertinggi untuk mendapat serangan jantung koronari.
Justeru itu anda dinasihatkan untuk mengamalkan ambilan makanan bersederhana dari segi kuantiti makanan dan kurangkan makanan berlemak dan tinggi garam.

 

Lemak tepu ke lemak tak tepu.

 

Kesemua makanan yang anda makan bisanya bekombinasi lemak tepu dan lemak tak tepu. Anda gunakan lemak untuk kelazatan dalam masakan. Lemak ini dalam bentuk minyak masak, marjerin dan mentega.
Ada dua jenis lemak dalam makanan anda, lemak tepu dan lemak tak tepu.

 

Lemak Tepu


Berbentuk pepejal dan keras di bawah suhu sejuk.
Kebanyakan sumber haiwan tetapi terdapat juga dalam lemak tumbuhan seperti santan kelapa.
Pengambilan lemak tepu berlebihan meningkatkan tahap kolesterol darah anda dan meningkatkan risiko penyakit jantung.

 

Lemak Tidak Tepu


Lembut walaupun disimpan di dalam peti sejuk
Sumber utama dari tumbuhan
2 jenis lemak tidak tepu :
  1. Lemak Monounsaturated ( MUFA ) seperti minyak zaiton dan minyak kelapa
  2. Lemak Polyunsaturated ( PUFA ) seperti minyak bunga matahari , minyak jagung dan marjerin lembut.

 

6 tip mudah amalkan gaya hidup sihat dan makan sehat untuk jantung

 

  1. Amalkan makanan pelbagai secara sederhana dan seimbang
  2. Tidak gemuk
  3. Kurangkan gula dan garam
  4. Kurangkan ambilan makanan tinggi lemak dan kolestrol
  5. Tingkatkan ambilan serat sayuran,buahan dan bijiran gandum lengkap
  6.  Bersenam secara konsisten

Sumber  http://www.cybermedik.com

Jangan serah kalah

Pelbagai pilihan rawatan kini membolehkan pesakit barah payudara kawal penyakit

BULAN 'merah jambu' khusus untuk barah payudara baru saja berlalu, namun usaha menerapkan kesedaran mengenai bahaya penyakit nombor satu paling kerap meragut nyawa wanita di dunia itu tetap bergerak terus.
Pada asasnya, tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya barah payudara secara amnya mencapai sasaran, begitupun sangat sedikit fokus yang diberikan terhadap barah payudara peringkat parah atau lebih dikenali sebagai metastatik.
Barah payudara yang parah atau metastatik adalah peringkat di mana sel-sel barah terpisah dari ketumbuhan utama payudara dan merebak ke bahagian lain badan melalui saluran darah atau sistem limpatik.

Berbanding dengan negara barat di mana lebih kurang enam peratus dari barah payudara adalah pada peringkat metastatik selepas pemeriksaan, sebaliknya wanita Malaysia disahkan mengenai barah payudara pada peringkat yang amat lambat.

Bertahun-tahun lamanya, hospital seperti Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) mencatatkan antara 30 hingga 40 peratus barah payudara di peringkat yang parah. Ada beberapa jenis dan yang paling lazim berlaku ialah Karsinoma duktus. Ini adalah barah payudara yang paling kerap berlaku dan bermula dalam tisu pengalas duktus.

Karsinoma lobul pula adalah barah yang timbul dari lobul manakala barah payudara metastatik adalah barah payudara yang merebak di luar payudara. Sel-sel barah ini sering ditemui dalam nodus limfa di bawah lengan (nodus limfa aksil.) Apabila barah sampai ke nodus ini, bermakna sel-sel barah sudah merebak ke bahagian badan yang lain seperti, tulang, hati atau paru-paru.
Mengikut kajian, jangka hayat seorang wanita yang menghidap barah payudara peringkat parah adalah lebih kurang dua hingga empat tahun saja. Bagaimanapun, dengan wujudnya pelbagai pilihan rawatan untuk penyakit pada peringkat metastatik, 21 peratus daripada jumlah pesakit mampu mencecah jangka hayat sehingga lima tahun. Di dunia, barah payudara adalah barah yang paling kerap dikalangan wanita yang menyebabkan lebih satu juta kes baru setiap tahun dan adalah penyebab utama kematian wanita yang berkaitan dengan barah.

Di Malaysia barah payudara adalah barah yang paling lazim pada keseluruhannya dan yang paling biasa di kalangan wanita tanpa mengira batas kaum dari usia 20 tahun mengikut kajian pada 2003 hingga 2005.

Presiden Persatuan Kebajikan Barah Payudara (BCWA), Ranjit Kaur menjelaskan kebanyakan pesakit yang disahkan menghidap barah payudara peringkat parah atau metastatik akan terus menyerah kalah.

“Keadaan ini sangat lazim kerana kebanyakan wanita yang ditimpa penyakit ini sedang berada di puncak kerjaya, sibuk menguruskan anak-anak dan keluarga juga suami. Ia seolah hukuman mati buat mereka. Bayangkan saja kesan dan bebanan emosi yang perlu ditanggung. Hakikat yang perlu mereka telan tidak terbayang dan tertanggung oleh sesiapapun. Apa yang terlihat hanyalah hari-hari kelam yang menuju kegelapan, akhirnya lebih rela membiarkan diri dimamah kesakitan fizikal yang amat sangat.

“Benar barah payudara peringkat parah atau metastatik tidak boleh dipulihkan, begitupun pelbagai pilihan rawatan kini membolehkan pesakit menguruskan dan mengawal penyakit itu dan ini memberikan mereka peluang untuk menjalani hidup yang lebih berkualiti dan sekali gus memanjangkan jangka hayat,” katanya ketika pelancaran kempen Pink Purse dan Be A Pink Angel anjuran BCWA bersama GlaxoSmithKline Pharmaceutical (GSK) di J Co Donuts & Coffee Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Lihat saja anggota BCWA yang datang dari pelbagai latar belakang agama, budaya, sosial dan peringkat usia. Barah payudara boleh dihidapi oleh sesiapa saja tidak kira lelaki mahupun wanita. Biar sejuta kempen kesedaran pun jika kekuatan dan mandiri itu tidak datang dari diri anda sendiri, segala usaha akan sia-sia. Lakukanlah pemeriksaan awal dan rutin, belajar cara pemeriksaan sendiri di rumah, sekurang-kurangnya anda masih punya peluang untuk menguruskan dan mengawalnya dengan baik.

“Teruskanlah kehidupan demi masyarakat, teruskan hidup demi keluarga dan teruskan hidup demi anda.

Golongan berisiko mendapat barah payu dara



  • Risiko wanita adalah 100 kali ganda lebih tinggi berbanding lelaki.






  • Sejarah keluarga






  • Sejarah barah - wanita yang pernah menghidap barah payu dara punya risiko berulang empat kali ganda.






  • Sejarah haid dan pembiakan - Melahirkan anak merendahkan risiko barah ini terutamanya jika kelahiran anak yang pertama berlaku sebelum ibu mencapai umur 30 tahun.






  • Pemakanan - pengambilan lemak secara berlebihan 






  • Pengambilan hormon - wanita yang sudah putus haid dan mengguna hormon gantian (HRT- hormone replacement therapy) didapati mempunyai risiko barah payu dara yang lebih tinggi. Risiko ini meninggi hanya setelah lima tahun penggunaan hormon secara berterusan.






  • Obesiti.






  • Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2010


    Eee... gigi berkarat

    Ketahui punca gigi jadi kuning dan langkah pencegahan

    SECARA amnya gigi adalah komponen penting dalam mempersembahkan senyuman yang sempurna. Senyuman sempurna pula menampilkan paras rupa yang mampu meninggalkan pandangan pertama sukar dilupakan. Pendek kata mempunyai gigi yang putih berseri, tersusun dan cantik adalah aset paling berkesan untuk dikenang orang.
    Kesedaran terhadap gigi kuning banyak terletak pada kesedaran individu sama ada peduli atau tidak berkeadaan demikian. Individu yang mengambil berat soal paras rupa dan kebersihan diri akan memandang kebersihan gigi terutama warnanya sebagai gambaran pertama penjagaan kesihatan dan kebersihan diri keseluruhannya.
    Pakar pergigian, Dr Halina Haron dari Klinik Pergigian Halina menjelaskan masalah gigi kuning boleh dibahagi kepada dua; Intrinsik iaitu kuning pada lapisan dalaman yang lebih sukar untuk dirawat dan Ekstrinsik iaitu kuning pada bahagian permukaan enamel yang lebih mudah untuk dibersihkan.

    Ada banyak faktor menyebabkan gigi kuning, paling lazim disebabkan makanan dan minuman. Makanan yang mempunyai pewarna yang tinggi seperti kunyit serbuk untuk menggoreng ikan mahupun buah dari keluarga beri atau kopi dan teh boleh meninggalkan kesan pada gigi sehingga berubah kuning dan berkarat.

    Aktiviti merokok mengakibatkan kesan nikotin yang kuat menyebabkan gigi semakin lama berubah kuning, plak pula selaput terbentuk pada permukaan gigi akibat sisa yang kaku dalam jangka panjang. Ubat-ubatan jenis antibiotik yang diambil ibu mengandung seperti ‘tetracycline’ bukan saja menjejaskan gigi ibu tetapi gigi bayi yang sedang membesar, malah kanak-kanak di bawah usia lapan tahun.

    Selain itu, pencuci mulut mengandungi ‘chlorhexidine’ boleh menyebabkan gigi kuning dengan cepat, kesan trauma akibat hentakan hingga mengganggu saraf menyebabkan gigi mati dan bertukar warna kerana tiada nutrien. Malah penggunaan florida - kandungan dalam ubat gigi dan ubat kumur - secara berlebihan boleh menyebabkan fluorosis.
    Fluorisis berlaku apabila kalsium disedut keluar menyebabkan gigi menjadi bertompok-tompok putih dan tidak sekata. Penuaan juga akan menyebabkan gigi kuning akibat permukaan gigi semakin haus selain rawatan akar yang menyebabkan gigi mati kerana tiada nutrien.

    Bagi mereka yang menghadapi masalah ini, rawatan bersesuaian mampu menyelamatkan gigi sebelum keadaan bertambah serius. Pesakit disaran mendapatkan rawatan segera di klinik kerana ia paling berkesan. Doktor gigi akan menggunakan pelbagai kaedah memutihkan gigi termasuk mesin pemutih gigi yang canggih, ceper dan juga berus berbentuk pen.

    Ubat gigi, ubat kumur dan gula getah dengan elemen pemutih yang dijual di farmasi juga boleh dijadikan alternatif walaupun kesannya kurang efektif.

    “Oleh kerana ubat-ubatan itu menggunakan bahan asas hidrogen peroksida, sebagai pengguna anda perlu bijak membuat kajian dan bertanya mengenai rawatan memutihkan gigi kerana bahan berkenaan sangat berasid. Jika digunakan terlalu lama ia boleh menyebabkan gigi menjadi ngilu.

    “Lebih selamat sekiranya memilih bahan paling rendah kepekatan ejen peluntur tetapi yang boleh memberi kesan efektif,” kata Dr Halina.

    Pemeriksaan dan rawatan pergigian rutin diikuti penjagaan susulan selain mengurangkan tabiat buruk seperti merokok, pengambilan teh dan kopi serta mengamalkan gaya hidup sihat seperti berkumur-kumur selepas makan mampu mencegah gigi menjadi kuning.

    Info: Punca gigi kuning



  • Amalan pemakanan




  • Plak




  • Pengambilan ubat-ubatan




  • Cecair pencuci mulut




  •  Florida




  •  Penuaan




  • Rawatan akar




  • Merokok 




  • Dr Halina boleh dihubungi di talian di 03-20921762 atau laman web, drhalina@dentalmatters.com


    Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Haria 2010





    Risiko dengkur

    Jangan anggap berdengkur masalah lazim, dapatkan nasihat pakar perubatan

    BERDENGKUR sering dianggap tabiat melucukan dan terlalu lazim dalam kalangan masyarakat, namun tahukah berdengkur sebenarnya gambaran awal seseorang itu bukan saja berhadapan masalah dengan pasangan dan kualiti kehidupan tetapi juga masalah kesihatan yang serius.
    Tabiat berdengkur berlaku apabila seseorang mengeluarkan bunyi bising semasa bernafas sewaktu tidur. Ia disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat di bahagian hidung atau kerongkong, menyebabkan getaran lelangit lembut dan otot kerongkong yang menghasilkan bunyi. Terminologi perubatan untuk masalah ini disebut ‘steator’.
    Masalah ini biasanya dikesan menerusi diagnosis pakar perubatan dari segi sejarah pesakit atau pasangan tidur yang kerap mempunyai masalah untuk lelap akibat terganggu.

    Pesakit berdengkur juga boleh mengalami gejala mengantuk pada waktu siang, sakit kepala, keletihan, kelesuan, perasaan cepat marah, kerap bangun malam, masalah penumpuan dan kurang daya ingatan. Paling membahayakan sekiranya pesakit senang tertidur semasa memandu terutama ketika perjalanan jauh atau sedang menunggu di simpang lampu trafik.

    Menurut Pakar Bedah Otorinolaringologi Hospital Columbia Asia, Bukit Rimau, Dr Mazita Ami, punca berdengkur disebabkan saluran pernafasan separa tersumbat sewaktu tidur terutama sewaktu tidur nyenyak dan ia boleh dipengaruhi pengambilan alkohol atau ubat-ubatan sebelum tidur.

    “Saluran pernafasan tersumbat boleh berlaku pada bahagian hidung atau kerongkong atau kedua-duanya sekali. Oleh itu kehadiran tisu tonsil atau adenoid yang besar, polip hidung, tulang hidung yang bengkok dan pesakit yang berlebihan berat badan dan mempunyai leher pendek dan besar akan meningkatkan risiko masalah berdengkur,” katanya.
    Masalah berdengkur boleh dikaitkan dengan masalah tidur serius dikenali ‘sleep apnea’. Ia berlaku apabila pesakit berhenti bernafas lebih daripada 10 saat sewaktu tidur (apnea). Apnea pula boleh berlaku berulang kali sewaktu tidur dan menyebabkan pengurangan kandungan oksigen dalam darah pesakit.

    Jelasnya, ‘sleep apnea’ yang tidak dirawat boleh membawa masalah darah tinggi, sakit jantung, angin ahmar, glaukoma dan sebagainya. Kerana itulah juga masalah berdengkur lazimnya dialami pesakit lelaki dalam lingkungan usia 30 hingga 60 tahun terutama yang mempunyai masalah berat badan berlebihan.

    Adalah penting bagi pesakit mendapat nasihat pakar untuk mengetahui sekiranya mereka mempunyai masalah ‘sleep apnea’. Masalah ini mempunyai beberapa tahap serius mengikut hasil kajian tidur yang dijalankan ke atas pesakit di makmal tidur di hospital atau di rumah pesakit sendiri.

    Menerusi kajian ini, pakar akan dapat mengesan kekerapan ‘apnea’ semasa tidur kerana semakin kerap berlaku ‘apnea’, semakin serius tahap penyakit itu dan kesannya kepada kesihatan pesakit.

    Rawatan untuk masalah berdengkur bergantung kepada punca yang dikenal pasti. Pembedahan boleh dilakukan untuk merawat masalah saluran pernafasan sempit seperti tisu tonsil yang besar, polip hidung dan sebagainya. Sekiranya berkaitan dengan ‘sleep apnea’, rawatan ‘continuous airway pressure’ adalah antara yang berkesan.

    Pesakit yang obes juga dinasihat untuk mengurangkan berat badan.

    Tegasnya, berdengkur bukan masalah lazim yang patut diterima bila umur meningkat. Ia boleh membawa masalah ‘sleep apnea’ yang serius dan memudaratkan kesihatan pesakit. Mereka yang mengalami masalah tidur bersama gejala mengantuk waktu siang, sakit kepala, keletihan dan masalah emosi perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan.

    Info
    Langkah pencegahan dengkur



  • Mengurangkan berat badan sekiranya mengalami masalah berat badan berlebihan.



  • Elak pengambilan alkohol atau ubat yang memberi kesan mengantuk sebelum tidur.



  • Memilih posisi tidur secara mengiring.



  • Mengamalkan jadual tidur yang tetap setiap hari.



  • Mendapatkan rawatan bagi hidung tersumbat atau ruang kerongkong yang sempit.




  • Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2010

    Bedah untuk kurus

    OBESITI adalah masalah kesihatan yang sekian lama dicelaru dan dikelirukan dengan masalah dan kepentingan kosmetik. Kegemukan, berat badan berlebihan, obesiti mahupun gemuk melampau menjurus pada masalah yang sama pada dasarnya, namun hakikatnya setiap satu istilah itu membawa maksud dan implikasi berbeza.
    Perbezaan istilah ini diperjelaskan menerusi kiraan unit kadar khusus untuk mengklasifikasikan berat tubuh seseorang itu jatuh dalam kategori tertentu. Di seluruh dunia, berat tubuh seseorang dikira menggunakan ukuran Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI).
    BMI adalah cara kiraan paling mudah di mana berat badan dalam kilogram dibahagi kepada tinggi individu dalam unit meter kuasa dua. Ini dilakukan bertujuan mendapatkan berat badan mengikut kesesuaian ketinggiannya.

    Misalnya jika seseorang dengan berat badan 150 kilogram tetapi fizikalnya tinggi, jisim itu bersesuaian dengan tubuh, sebaliknya jika individu itu 80 kilogram dan rendah, berat itu akan menimbulkan masalah kesihatan buatnya.

    Bagi orang Asia, kategori unit berbeza dengan kategori yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana memiliki rangka tubuh lebih kecil berbanding orang barat.

    Perunding Pembedahan Am, Bariatrik dan Pembedahan Kurang Invasif, Hospital Pakar Ampang Puteri, Dr Jasmi Ali Yaakub, menjelaskan setiap kali berhadapan dengan pesakit yang bimbang mengenai kegemukan, perkara pertama yang akan dilakukan ialah mengukur kadar BMI pesakit berkenaan.
    “Sebagai orang Asia, kata sepakat yang dicapai hasil rundingan anggota persatuan obesiti sekitar Asia pada 2004 membuahkan natijah terbaik apabila berjaya menetapkan kadar BMI khusus untuk orang Asia,” katanya.

    Kadar itu menetapkan individu yang kiraan BMI antara 18 hingga 25 adalah normal, 25 hingga 27.5 (berat badan berlebihan), 27.5 hingga 32.5 (gemuk), 32.5 hingga 37.5 (obesiti kelas 1), 37.5 ke atas (morbid obesiti atau gemuk melampau) dan 50 ke atas dikategorikan sebagai ‘super obes’.

    Sekiranya BMI lebih 32.5, maka individu itu berada pada kategori obes, sebaliknya jika kurang, mereka hanya dianggap terlebih berat badan. Jadi bila ada unit sedemikian, lebih mudah untuk mengklasifikasi dan menjuruskan kaedah rawatan mengikut BMI pesakit.

    Bila seseorang itu jatuh dalam kategori obesiti dan dibiarkan tanpa rawatan, ia akan mengundang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi, masalah jantung, masalah tulang khususnya tulang belakang dan tulang lutut serta masalah sistem pernafasan yang menyebabkan sesak nafas dan susah tidur.

    Individu yang terlalu berat atau ‘morbid obes’ juga berhadapan dengan kadar mati cepat atau kematian pramatang yang tinggi. Ini menunjukkan mereka yang gemuk melampau akan mudah mendapat penyakit kronik pada usia muda dan perlu pertolongan kerana ini bukan lagi masalah kosmetik, sebaliknya menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawa.

    Menurut Dr Jasmi, obesiti perlu dirawat kerana banyak penyelidikan mendapati obesiti yang dirawat mampu menurunkan berat badan yang tinggi pada kadar 85 hingga 90 peratus. Penyakit kronik dihidapi mungkin sembuh 100 peratus atau dapat dikawal khususnya kencing manis ‘mellitus’ (jenis 2) dan darah tinggi disebabkan obesiti.

    Bagi pakar perubatan, rawatan obesiti perlu kerana ia akan membawa faedah yang baik kepada pesakit dalam jangka panjang. Faedah sampingan yang dinikmati apabila pesakit semakin kurus ialah berasa semakin sihat dan secara kosmetiknya kelihatan menarik.

    “Di seluruh dunia, apabila seseorang individu diklasifikasi sebagai ‘morbid obes’ (BMI 32.5), kami syorkan mereka menjalani pembedahan ‘bariatrik’ (pembedahan penurunan berat badan) menerusi kaedah laparoskopi. Tujuan pertamanya untuk menurunkan berat badan dan kedua, mengekalkan penurunan berat badan untuk jangka lama,” katanya.

    Bagaimanapun kaedah pembedahan yang dipilih bergantung pada pesakit. Banyak faktor yang perlu dibincangkan dan diambil kira oleh panel doktor dan juga pesakit seperti kedudukan kewangan, logistik, sokongan keluarga, keadaan kesihatan, kecergasan dan pelbagai lagi.

    Pesakit perlu faham menjalani pembedahan ‘bariatrik’ bermaksud sanggup untuk komited terhadap kesannya seumur hidup. Ia mengambil masa enam hingga setahun dan tahap paling penting ialah tiga hingga enam bulan pertama di mana penurunan berat badan akan berlaku secara mendadak.

    Pemantauan berat badan mengikut kadar yang dikehendaki amat penting oleh pakar yang akan mengira dan memantau sasaran penurunan berat badan dengan ketinggian dalam sebulan. Pesakit yang konsisten dengan rawatan susulan serta mengikut rejim diet yang disarankan pakar diet dan bersenam, punya potensi untuk sembuh dengan kadar segera.

    Apapun, masyarakat menerusi media massa perlu disedarkan mengenai pentingnya mengawal berat badan demi kelangsungan hidup selain kewujudan kaedah rawatan yang khusus bagi masalah obesiti.

    Selain persepsi dan kekaburan sedia wujud dalam kalangan masyarakat sekian lama, polisi insurans yang tidak melindungi pembedahan ‘bariatrik’ juga perlu dipinda kerana ia bukan kaedah digunakan untuk tujuan kosmetik, sebaliknya rawatan kesihatan yang mampu menyembuh dan mengawal pelbagai penyakit kronik sebutkan awal tadi.

    “Segalanya bermula dengan pencegahan. Masyarakat perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai obesiti termasuk bagaimana melakukan kiraan BMI sendiri, selain mengamalkan gaya hidup sihat. Jangan membazir wang ke pusat penjagaan kecantikan kerana obesiti bukan masalah kosmetik sebaliknya mengancam kesihatan.

    “Berjumpalah pakar kesihatan bertauliah untuk berbincang mengenai keadaan kesihatan semasa anda.”

    Info
    Teknik pembedahan laparoskopi dan kaedah pembedahan ‘bariatrik’


  • Menggunakan teknik tebukan yang kurang invasif.



  • Memberikan kadar penyembuhan yang cepat dan selamat.



  • Secara keseluruhan, ada tiga kaedah pembedahan ‘bariatrik’.



  • Kaedah bariatrik pertama - ‘Laparoskopi Gastric Bending’.



  • Kaedah bariatrik kedua - ‘Sleeve Gastractomy’.



  • Kaedah bariatrik ketiga - Laparoskopi Pintasan Usus atau pintasan perut.

     



  •   Kesan selepas pembedahan ‘bariatrik’





  • Tidak boleh makan banyak kerana perut sudah dikecilkan.



  • Kalau makan banyak, akan muntah.



  • Murung atau sedih sebab tidak boleh makan banyak.



  • Letih



  • Mula seronok bila berat badan semakin menyusut.



  • Pesakit kronik akan mula sembuh, pertamanya bagi pernafasan atau masalah berdengkur.



  • Dalam tempoh 4-5 minggu, penyakit kencing manis dan darah tinggi lebih mudah dikawal.




  • Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2010


    Fobia terapi insulin

    Takut suntikan sukarkan penghidap diabetes jalani kehidupan lebih baik

    RAMAI penghidap diabetes beranggapan terapi insulin sebagai pilihan terakhir rawatan. Atas alasan itu, ada yang sanggup menunggu sehingga rawatan oral gagal barulah beralih kepada terapi insulin. Malangnya ketika itu, penyakit sudah pun menguasai kehidupan mereka.
    Hakikatnya, rawatan oral tidak gagal cuma penyakit itu menjadi semakin teruk. Apa yang tidak disedari ramai pesakit dan pakar perubatan ialah insulin mengembalikan kawalan penyakit itu kepada pesakit. Malah apabila mereka mula menggunakan insulin, pesakit selalunya dapat menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
    Secara ringkasnya, diabetes Jenis 2 adalah penyakit progresif yang disebabkan rintangan insulin dan kekurangan insulin. Kebanyakan pesakit diabetes Jenis 2 akhirnya akan memerlukan insulin disebabkan sifat semula jadi penyakit itu.

    Perlu diingat, insulin adalah selamat, berkesan dan ubat yang paling kuat ketika ini untuk mencapai sasaran glisemik. Bagaimanapun, di Malaysia, ia tidak digunakan seawal mungkin, cukup kerap atau cukup agresif untuk membolehkan pesakit mencapai matlamat yang terbukti mengurangkan risiko kematian.

    Kawasan Asia-Oseania ketika ini menghadapi peningkatan mendadak diabetes. Di Asia saja, dianggarkan jumlah pesakit diabetes mencecah lebih daripada 138 juta orang. Di Malaysia, 14.9 peratus atau kira-kira 1.5 juta orang yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes dan lebih kurang 20 peratus menguruskannya dengan terapi insulin di pusat kesihatan Kementerian Kesihatan.

    Kadar obesiti yang tinggi menyumbang secara langsung peningkatan jumlah pesakit diabetes manakala kurangnya kefahaman di kalangan kakitangan kesihatan yang merawat diabetes Jenis 2 merencatkan pengurusan penyakit itu.
    Apa puncanya ramai pengidap tidak berminat menggunakan insulin?

    Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Prof. Dr Nor Azmi Kamaruddin, berkata antara alasannya termasuk takut sakit tusukan jarum, stigma yang dikaitkan dengan penggunaan jarum, kebimbangan komplikasi seperti hipoglisemia, pertambahan berat badan, perasaan malu dan kos.

    “Atas kesedaran itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil inisiatif menerbit dan melancarkan Panduan Praktikal Untuk Terapi Insulin, 2 Disember lalu bertujuan melatih pakar perubatan bagaimana hendak memulakan, mengoptimumkan dan meningkatkan penggunaan insulin untuk memperbaiki hasil rawatan.

    “Di Malaysia, kita memiliki sistem penjagaan kesihatan yang amat baik yang menyediakan penjagaan kesihatan yang cemerlang pada harga yang berpatutan kepada rakyat. Bagaimanapun kita menghadapi masalah diabetes yang semakin meningkat. Tanpa pengurusan yang sesuai, latihan pakar perubatan dan kesedaran orang awam, penyakit ini akan mengurangkan sumber penjagaan kesihatan kita dengan cepat,” katanya.

    Panduan ini sangat penting kerana latihan akan membimbing pakar perubatan mengenai penggunaan insulin yang wajar, membantu mereka menerangkan faedah insulin kepada pesakit dan menanamkan keyakinan pada pesakit untuk menggunakan insulin. Hasilnya meningkatkan penggunaan insulin dalam pengurusan diabetes di seluruh negara.

    Kumpulan pertama 30 orang pakar perubatan rawatan asas sudah dilatih menggunakan panduan itu sedari awal dan dijangkakan lebih 200 pakar perubatan akan dilatih kementerian dengan bantuan Sanofi-Aventis dalam masa 12 bulan berikutnya. Sanofi-Aventis juga membantu pembangunan Panduan tersebut menerusi pemberian geran pendidikan.

    Kementerian juga berharap dapat mendidik kesemua pakar perubatan rawatan asas dan pesakit diabetes mengenai penggunaan insulin yang wajar dan hasilnya mereka yang menderita diabetes Jenis 2 akan memulakan terapi insulin pada peringkat awal dan mampu untuk menjalani kehidupan yang normal serta menikmati kualiti hidup yang lebih baik.

    Info:



  • Kira-kira 1.5 juta orang yang berumur 30 tahun ke atas menghidap diabetes di Malaysia.



  • Malaysia adalah negara terendah di dunia dari segi penggunaan insulin (20 peratus).



  • Bekalan ubatan dan terapi insulin di hospital kerajaan adalah percuma, namun tetap diambil mudah.




  • Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011

    Risiko ibu, bayi mati

    Masalah denyut nadi terputus hadkan keupayaan bersalin normal, perlu bantuan pacemaker

    SEORANG wanita yang hamil anak kedua, hadir pemeriksaan rutin pada usia kandungan 36 minggu. Hasil imbasan ultrasound menunjukkan kandungan mengalami kadar tumbesaran yang lembap dengan jangkaan berat hanya 2 kilogram sedangkan berat normal purata ialah 2.4 kilogram. Tidak cukup itu, air ketubannya juga didapati amat berkurangan manakala , kandungannya pula berada pada kedudukan songsang.
    Pesakit dinasihati menjalani pembedahan ‘Caesarean Section’ untuk melahirkan kandungan secepat mungkin kerana memanjangkan tempoh mengandung mungkin boleh menyebabkan kematian anak. Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal mendapati kadar denyutan nadi pesakit terlalu rendah iaitu sekitar 36 denyutan nadi seminit (normal ~ 70 denyutan seminit). Pemeriksaan electrocardiogram (ECG) pula menunjukkan fenomena ‘complete heart block’ atau denyut nadi terputus.
    Ini menyebabkan kadar denyut nadi yang rendah dan mengurangkan keupayaan pesakit untuk melalui proses kelahiran secara normal. Oleh kerana itu, pesakit dinasihati agar menjalani prosedur pemasangan wayar dan penjana ‘pacemaker’ (penjana denyut nadi atau lebih dikenali sebagai ‘bateri’) bagi mengembalikan kadar denyutan nadi kepada normal sebelum menjalani pembedahan caesareann. Kegagalan memasang wayar dan penjana ‘pacemaker’ boleh menyebabkan kematian pesakit atau kandungan semasa menjalani pembedahan itu.

    Begitu serius senario ini yang pada masa sama turut menentukan hidup mati seseorang wanita itu. Malangnya, tidak ramai yang tahu apakah sebenarnya masalah denyut nadi terputus ini yang lazimnya dihidapi oleh golongan tua akibat faktor usia.

    Selain itu ia juga antara komplikasi penyakit jantung koronari atau pembedahan memperbetulkan kecacatan fizikal jantung. Ia sering dirujuk dengan masalah seperti kadar denyut nadi yang rendah dan mengakibatkan penghidap mengalami gejala tekanan darah rendah, pitam dan sering jatuh. Hasil ECG pula menunjukkan kehilangan koordinasi antara ruang atrium dan ventrikel jantung.

    Pada zaman ini yang mana kemudahan rawatan dan pembedahan jantung makin meluas, didapati semakin ramai kanak - kanak yang berjaya hidup ke alam dewasa selepas menjalani pembedahan memperbetulkan kecacatan fizikal jantung. Berikutan itu, semakin ramai pula di antara mereka yang kemudian berkahwin dan berusaha untuk mendapatkan zuriat yang sekali gus menyebabkan semakin ramai ibu mengandung berdepan masalah ini.
    Malah, ia berlaku pada kadar kekerapan atau nisbah seorang bagi setiap 20,000 wanita dan majoritinya dikenal pasti sebelum mengandung. Namun, agak menyedihkan apabila ada sesetengah wanita itu yang hanya dikenal pasti menghidap masalah itu selepas mengandung. Keadaan ini turut menjadi cabaran besar bagi pengamal perubatan.

    Rawatan terbaik bagi masalah ini adalah pemasangan wayar dan penjana denyut nadi - ‘pacemaker’ atau sebutan lazimnya ‘bateri.’ Rawatan ini hanya boleh dilakukan dengan bantuan mesin x-ray tetapi pancaran x-ray ini amat membahayakan kandungan kerana ia boleh mengakibatkan kecacatan fizikal.

    Oleh itu keperluan pemasangan ‘pacemaker’ perlulah diimbangi dengan risiko terhadap janin dan sebarang keputusan mestilah berpandukan persetujuan dan persefahaman antara doktor pakar dan pesakit.

    Bagi ibu-ibu yang baru dikenal pasti menghidap penyakit ini semasa mengandung, mereka perlu sedar bahawa tanpa bantuan alat ‘pacemaker,’ keupayaan mereka melalui proses kelahiran amatlah terbatas. Lebih membimbangkan, kemungkinan atau risiko ia menyebabkan kematian ibu atau kandungan juga amat tinggi.

    Justeru, strategi meringankan dan menyegerakan proses kelahiran perlu dirangka dengan bantuan dan kerjasama pakar-pakar obstetrik, bius dan kardiologi. Kalangan ibu terbabit juga perlu menerima kemungkinan mereka diminta memasang alat ‘pacemaker’ sama ada yang berbentuk sementara atau tetap.

    Beberapa kajian perlu dilakukan sebelum memutuskan untuk memasang alat ‘pacemaker.’ Ini termasuk pemeriksaan sama ada wanita itu turut menghidapi penyakit lain seperti SLE (Systemic Lupus Erythematosus) atau tiroid.

    Keupayaan jantung menerima tekanan fizikal dan bertindak balas dengan menaikkan kadar denyutan nadi juga perlu diuji. Keupayaan wanita itu menghadapi ujian-ujian ini amat penting bagi memungkinkan mereka dibenarkan melalui proses kelahiran tanpa bantuan alat ‘pacemaker.’ Namun begitu sebagai langkah berjaga-jaga, kebanyakan doktor tetap akan menyarankan pemasangan alat ‘pacemaker’ secara sementara.

    Kesimpulannya, masalah denyut nadi terputus tidak bermakna pesakit akan kehilangan denyut nadi secara sepenuhnya. Sebaliknya, ia merujuk kehilangan koordinasi antara ruang atrium dan ventrikel jantung. Namun, ia sering menyebabkan pesakit mengalami kadar denyut nadi rendah, tekanan darah rendah, pitam dan sering jatuh.

    Ia hanya boleh diubati dengan memasang wayar dan penjana denyut nadi dengan bantuan x-ray. Bagi ibu mengandung, ia satu cabaran getir kerana menolak pemasangan ‘pacemaker’ boleh memudaratkan ibu dan kandungannya sedangkan memasangnya boleh mendedahkan janin kepada risiko radiasi x-ray. Oleh itu, sebarang keputusan mesti berasaskan beberapa ujian klinikal, kerjasama antara pakar-pakar obstetrik, bius dan kardiologi dan akhir sekali persetujuan pesakit dan keluarga hasil musyawarah semua pihak.

    INFO: Denyut nadi terputus



  • Merujuk kehilangan koordinasi antara ruang atrium dan ventrikel jantung.






  • Punca penghidap alami kadar denyut nadi rendah, tekanan darah rendah, pitam dan sering jatuh.






  • Boleh diubati dengan memasang wayar dan penjana denyut nadi dengan bantuan x-ray yang sebaliknya berisiko bagi bayi.


    Rencana Disediakan:
    Prof Madya Dr Azarisman Shah Mohd Shah, Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Kardiologi, Timbalan Dekan (Akademik) Kulliyyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Pahang



  • Arkib 
    Sumber Berita Harian 2011

    Tak semua sesuai bedah kosmetik

    Individu perlu jalani pemeriksaan teliti oleh pakar bertauliah

    SEJAK beberapa dekad kebelakangan ini masyarakat sudah menganggap pembedahan plastik sebagai kaedah pembedahan kecantikan yang menjadi trend masa kini dan tiada bezanya dengan pembedahan lain. Tiada lagi rasa malu atau rendah diri dan tidak perlu berahsia lagi.

    Selain pembedahan plastik, kajian menunjukkan prosedur tidak invasif (tanpa pembedahan) seperti rawatan kecantikan estetik juga dilihat menarik minat pesakit yang belum bersedia, tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan dengan catatan 11.4 juta prosedur dijalankan di seluruh dunia sepanjang 2005 iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2000.
    Menurut Perunding Plastik dan Pakar Bedah Rekonstruktif Hospital Pakar Ampang Puteri, Datuk Dr A Jalil Jidon, pembedahan plastik pada dasarnya terbahagi kepada dua cabang utama iaitu rekonstruktif dan kosmetik.
    Objektifnya berbeza yang mana rekonstruktif membina semula bahagian yang tiada, rosak atau cedera akibat kemalangan, kebakaran mahupun kecacatan sejak lahir, manakala kosmetik pula lebih menjurus kepada tujuan imej tubuh badan.

    “Idea utama rekonstruktif ialah cuba memperbaiki sesuatu keadaan menjadi hampir normal seperti kanak-kanak sumbing dalam usaha memperbaiki percakapan dan penampilan; mangsa barah payudara dengan membina semula payudara yang dibuang akibat barah menggunakan sel dan tisu tubuh dan mangsa lecur untuk mengurangkan parut dan mengembalikan fungsi kulit.

    Walaupun semua jenis pembedahan kosmetik dijalankan di sini termasuk payudara, menegangkan wajah, hidung, menyinsing perut dan juga menyedut lemak perut, namun jika penilaian dan pemeriksaan pakar mendapati objektif pembedahan tidak dapat dicapai, ia tidak akan dilakukan.

    “Ia tidak semudah memenuhi segala permintaan pesakit, kerana bagi pihak kami pelbagai aspek harus diberi penekanan termasuk keselamatan, mampu dicapai atau tidak dan adakah ia memuaskan hati. Tahap kesihatan, fizikal, psikologi dan sama ada permintaan itu mustahil atau tidak kerana ada pesakit yang datang dengan permintaan yang tidak munasabah dan sukar dicapai. Fungsi pembedahan plastik adalah untuk menambah baik bahagian tubuh tertentu bukan mengubahnya menjadi individu lain,” katanya yang mengakui kliniknya turut dikunjungi ramai pesakit dari serata dunia.
    Pada dasarnya pembedahan plastik adalah selamat sekiranya dilakukan mengikut protokol dan oleh pakar yang berkelayakan serta menjalani latihan khusus. Kos tidak seharusnya menjadi faktor utama tetapi keselamatan dan kepuasan, malah ramai menganggap ia bukanlah pembedahan eksklusif seperti sebelumnya dan harus dilakukan bila dirasakan perlu.

    Jelasnya sepanjang kerjayanya, pesakit paling muda yang pernah mendapat khidmatnya ialah remaja berusia 16 tahun yang mahu membesarkan payudara dan paling tua berusia 70 tahun, namun semuanya dilakukan selepas calon ini melepasi ujian fisiologi, fizikal dan psikologi memandangkan setiap pesakit adalah unik dan tersendiri.

    Dr A Jalil turut meluahkan kebimbangannya yang perlu berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua pesakit seminggu yang datang untuk membetulkan kesilapan rawatan kecantikan yang dilakukan di pusat kecantikan yang tidak bertauliah.

    Benar kini semakin ramai menerima kaedah pembedahan plastik, begitupun dalam masa sama pengusaha yang tidak terlatih tumbuh macam cendawan selepas hujan. Hanya dengan campur tangan kerajaan menguatkuasa undang-undang serta kesedaran masyarakat terhadap peri pentingnya ilmu dan mendapat khidmat pengamal perubatan yang terlatih dan berkelayakan, maka kesilapan akibat rawatan kecantikan oleh pihak tidak bertauliah dapat dikawal.

    Sementara itu, Dr Rushmini Maris Ismail, pengusaha pusat kecantikan estetik Marissa Skin and Wellness Centre di Semenyih, Selangor, menjelaskan masyarakat kini punya kuasa memilih yang tinggi dan mahukan rawatan yang tidak menakutkan mereka. Atas alasan itu, ramai yang memilih melakukan rawatan estetik berbanding pembedahan plastik yang kosnya kadangkala jauh lebih tinggi.

    Di Malaysia, ia berkembang bukan atas dasar budaya popular yang dijaja media massa, sebaliknya golongan bekerjaya dan remaja yang melalui perubatan begini punya perspektif yang tersendiri. Kini masyarakat mencari pilihan yang kosnya lebih sederhana namun hasilnya hampir menepati rawatan yang agak invasif.

    “Ia berkembang menjadi cabang yang maju...dari suntikan, laser mahupun surgeri kesemua prosedur ini minimum dan tidak membabitkan pembedahan. Kaedah yang digunakan tidak meninggalkan kesan mahupun parut fizikal, tidak perlu dijahit mahupun menggunakan bius secara umum. Bagaimanapun keberkesanan kaedah ini ada hadnya namun hasilnya boleh diterima pelanggan.

    “Bagi memastikan prosedur dijalankan dengan selamat pemilihan pesakit dilakukan mengikut kriteria tertentu di mana setiap orang yang mahu menjalani rawatan estetik perlu sihat, cergas, paras gula (kencing manis) pada tahap normal begitu juga bacaan sehari selepas rawatan dijalankan. Kadangkala kami pastikan pesakit datang ke sini setiap hari untuk memantau juga untuk tujuan rawatan susulan.

    Jelasnya kaedah rawatan yang digunakan adalah saintifik, mengikut prosedur yang betul bagi mengelak komplikasi. Prosedur harus mengikut protokol yang ketat.

    Ia menjadi negatif bila rawatan itu dilakukan pengusaha pusat kecantikan mahupun pengamal perubatan yang tidak bertauliah.

    “Kami di sini sangat tegas dengan polisi tidak membetulkan kesalahan atau kesilapan pelanggan yang menjalani rawatan kosmetik di tempat lain. Selain pengamal yang sah, kandungan ubat-ubatan juga perlu mendapat kelulusan FDA dari Amerika Syarikat. Apa yang berlaku rata-rata pengusaha pusat kecantikan yang banyak di pasaran tidak mengetahui kandungan bahan yang digunakan menyebabkan jadi kesan sampingan juga serius.

    Jelas Dr Rushmini yang juga pengamal perubatan konvensional berdaftar, kebanyakan pelanggan remaja yang datang mendapatkan rawatan di kliniknya berhadapan masalah kulit termasuk jerawat dan jeragat, sementara pelanggan berusia 40-an lebih kepada rawatan anti penuaan, menegangkan payudara, hormon dan melicinkan kulit. Kumpulan ini kebanyakan sudah berkahwin dan punya anak. Tidak kurang juga jejaka yang datang untuk membuang bulu di tubuh.

    Rawatan paling terkenal di sini ialah obesiti atau menurunkan berat badan menggunakan rawatan hormonal modulation kerana selama ini ramai yang menganggap masalah kegemukan hanya disebabkan diet tetapi hormon yang tidak seimbang

    Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011

    Beban batu karang

    SAKIT batu karang sudah terlalu kerap kita dengar. Jika bukan diri sendiri, pasti ada rakan atau saudara mara yang mengadu pernah berdepan masalah yang menjejaskan kehidupan seharian.

    Apa tidaknya, ada yang sukar berjalan akibat kesakitan teramat sangat pada perut sehingga terpaksa cuti sakit. Apakah sebenarnya masalah ini? Batu karang merujuk keadaan yang mana wujud sisa mineral halus seakan batu kristal di sepanjang saluran kencing. Saluran ini mengandungi organ seperti buah pinggang, ureter, pundi kencing dan urethra yang berfungsi menapis darah untuk membuang kekotoran yang kemudian disingkir dari tubuh.
    Pembentukan batu biasanya mula terbentuk di buah pinggang sebelum bergerak ke bahagian lain saluran kencing hingga tersumbat di tiub yang lebih kecil seperti batu pundi, batu uriterik dan batu buah pinggang menyebabkan pesakit merasa sakit yang teramat sangat.
    Pakar Perunding Urologi Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr Mohd Ridzwan Yusof berkata kelompok usia yang sering mengalami masalah ini adalah antara 20 hingga 40 tahun. Ada juga yang berlaku pada usia di bawah 20 dan melebihi 40 tahun, walau bagaimanapun kes begini adalah jarang.

    Penyakit batu karang lebih mudah menyerang lelaki berbanding wanita iaitu pada nisbah tiga lelaki bagi setiap seorang wanita. Ini disebabkan lelaki memiliki hormon testosteron yang tinggi. Ini menjelaskan mengapa orang tua dan kanak-kanak jarang mendapat penyakit ini memandangkan hormon testosteron mereka rendah.

    “Punca utama terbentuknya batu karang terbahagi kepada faktor luaran membabitkan diet yang tinggi kandungan bahan kimia atau purine. Bahan kimia ini ada di dalam organ dalaman haiwan, angsa, ekstrak daging, makanan laut, telur ikan dan arak,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

    Faktor lain penyebab batuk karang adalah kurang minum air, keadaan kerja yang tidak banyak pergerakan (seperti di pejabat atau kerjaya pemandu lori, teksi) dan kerja di luar yang terdedah kepada matahari. Tidak ketinggalan, faktor geografi iaitu negara Asia termasuk Malaysia yang ramai pesakit batu karang serta bangsa yang mana mereka berkulit cerah lebih mudah menghidapnya berbanding kulit hitam.
    Punca lain termasuk kadar mineral tidak seimbang, peningkatan hormon, pesakit yang menjalani pembedahan pintasan usus, kekurangan bahan-bahan pencegahan dalam air kencing (citrate, magnesium dan zink), jangkitan saluran kencing dan laluan kencing yang tidak normal.

    “Kajian sebelum ini pula menunjukkan 25 peratus pesakit batu karang mempunyai sejarah keluarga dan ini bermakna ia ada kaitan dengan faktor genetik. Malah antara penyakit genetik yang dikaitkan dengan batu karang termasuk renal tubular, tubalar acidosis dan cystinuria,” katanya.

    Dr Mohd Ridzwan berkata, tanda-tanda utama penyakit batu karang termasuk rasa senak secara mengejut dan berulang-ulang dan terlalu sakit hingga ada pakar yang menggambarkan kesakitannya lebih teruk daripada sakit bersalin, kencing berdarah, muntah-muntah dan kencing tak lawas.

    Bagi tanda-tanda yang agak lewat pula, adalah kegagalan buah pinggang, loya, muntah dan sesak nafas.

    Mengenai saiz batu karang, katanya, ia bergantung kepada di mana lokasi ia terbentuk sama ada di dalam buah pinggang yang mana ia boleh memenuhi semua rongganya dengan saiz maksimum sehingga 4 sentimeter.

    Dalam pundi kencing pula ia boleh memenuhi rongga itu sehingga 10 sentimeter dan di saluran uriter (antara buah pinggang dan pundi kencing) selalunya kurang daripada satu sentimeter.

    Mengikut kaedah konservatif, batu karang boleh dirawat dengan meningkatkan pengambilan air sebanyak 3 liter sehari, rawatan perubatan atau ubat-ubatan mengurangkan asid dalam air kencing; ubat penahan sakit, suntikan dan ubat-ubatan pemecah batu yang tidak spesifik bagi kes yang tidak serius.

    Apakah jenis batu dialami mereka? Menurut Dr Ridzwan, bagi 100 pesakit misalnya, kira-kira 80 peratus mengalami jenis batu kalsium, batu asid urik, struvite dan lain-lain.

    Bagi kaedah kurang invasif atau tidak membabitkan pembedahan, beberapa cara boleh digunakan mengikut tahap batu karang pesakit seperti gelombang Extracorporial shockwave lithotripsy (ESWL) khusus untuk batu bersaiz kurang dua sentimeter.

    Sesetengah batu seperti systine dan calsium oxalat monohydrate adalah sangat keras dan susah untuk dipecahkan menggunakan kaedah ini. Teknik ini juga tidak sesuai bagi mereka yang menghidap darah tinggi, masalah saluran darah mengambil ubat pencair darah dan batu yang dijangkiti kuman.

    PCNL atau Percutaneous Nephrolithotripsy merawat batu saiz lebih dua sentimeter; retrograde Intrarenal surgery (RIRS) merawat batu kurang satu sentimeter yang mana batu karang itu dipecahkan menggunakan laser.

    Apakah peluang pesakit untuk pulih? Biarpun hakikatnya, batu karang boleh pulih sepenuhnya, tetap ada kebarangkalian tinggi untuk berulang. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan 10 peratus pesakit boleh mengalami semula masalah itu dalam masa setahun, 35 peratus kes dalam masa lima tahun dan 50 peratus kes dalam masa 10 tahun.

    Namun masih ada kaedah untuk mengelak penyakit itu berulang iaitu menerusi pengambilan air yang mencukupi sekurang-kurangnya tiga liter sehari. Di samping itu, menjaga pemakanan dengan mengamalkan diet rendah purin seperti bijirin, roti dan bihun, telur, hasil tenusu dan minuman seperti teh, kopi dan coklat.

    Bagaimana pula dengan masyarakat yang sebaliknya lebih cenderung berjumpa pengamal perubatan alternatif terlebih dulu sebelum mendapat nasihat pakar?

    Persepsi ini, kata Dr Mohd Ridzwan, harus diperbetulkan.

    “Ada pelbagai cara dilakukan tetapi ada risikonya. Jika batu di buah pinggang itu tersumbat, anda dinasihatkan mendapatkan rawatan pakar dengan kadar segera kerana jika terlambat ia akan menyebabkan kerosakan buah pinggang atau kematian andai ada jangkitan kuman yang merebak dan menyebabkan keracunan dalam darah.

    “Tidak salah menjalani rawatan sebegini kerana sebahagian besar pesakit saya melakukannya...cuma saya nasihatkan sekiranya anda melakukan rawatan alternatif ini sila pastikan anda diperiksa semula oleh pakar perubatan bertauliah di hospital untuk memastikan batu itu benar-benar sudah berjaya dikeluarkan.”

    Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011

    Rahsia awet muda

    SIAPA yang tidak terganggu memikirkan usia semakin meningkat. Selain bentuk fizikal, kudrat juga semakin terhad. Cuba fikir sejenak, mahukah kita menjadi seorang tua yang lemah, tidak berdaya, cerewet, pelupa, rabun, tidak sihat dan lebih selesa bersendirian tatkala anak cucu datang menjenguk atau menjadi warga tua yang cergas, aktif, sihat dan gembira menempuh saat persaraan.
    Definisi peningkatan usia yang dikaitkan dengan nombor tidak lagi relevan. Penuaan adalah proses semula jadi yang tidak boleh dielakkan, tetapi ia boleh dilengahkan. Pakar perubatan hari ini tidak lagi mentakrifkan tua berdasarkan umur biologi (angka), sebaliknya lebih melihat kepada tahap kesihatan seseorang.
    Mengikut kajian, bilangan warga tua di Malaysia meningkat hampir 1.4 juta pada 2000 dan dijangkakan mencecah 3.4 juta menjelang 2020. Walaupun ini menunjukkan negara akan kebanjiran warga tua berbanding warga muda, ia bukan bermakna warga tua tidak mampu untuk menjadi lebih produktif.

    Ramai tidak sedar banyak yang boleh dilakukan individu untuk kekal aktif dan sihat dalam meniti usia tua. Risiko dan beban penyakit kronik meningkat dengan pertambahan warga tua. Begitupun ia boleh dicegah sekiranya mengamalkan gaya hidup sihat, saringan kesihatan tahunan pada peringkat awal bagi mengesan penyakit dan melengahkan merebaknya penyakit dengan perubahan gaya hidup dan pengambilan makanan seimbang.

    Perunding Perubatan Dalaman dan Geriatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Rajbans Singh, berkata dalam meniti usia tua, risiko mendapat penyakit kronik seperti kardiovaskular, diabetes, tekanan darah tinggi, dementia dan Alzheimer adalah tinggi selain penyakit berkaitan kesihatan mental, kanser dan pelbagai lagi.

    “Mengesan awal, langkah pencegahan dan pengurusan penyakit lazim seperti darah tinggi dan diabetes mampu mengekalkan tahap kesihatan dan hidup berdikari. Menggalakkan warga tua aktif mental dan fizikal penting buat populasi yang semakin meningkat usia ini dengan mengamalkan pemakanan seimbang kerana ia mampu mengurangkan risiko sakit jantung, strok, diabetes jenis 2, masalah tulang, beberapa jenis barah dan anemia.
    “Ramai warga tua berubah menjadi sangat memilih makanan, ada juga yang enggan mendengar nasihat doktor untuk mengamalkan pemakanan seimbang dan penuh nutrisi bagi memastikan terus sihat, cergas dan aktif,” katanya selepas perasmian Program Kesejahteraan Warga Tua di PPPC, baru-baru ini.

    Masalah kesihatan paling lazim diterima ialah arthritis dan sakit sendi, sakit belakang, osteoporosis, masalah pendengaran, hilang penglihatan, hilang ingatan, tekanan, hilang stamina dan hilang selera.

    Kebanyakan masalah ini boleh dicegah dengan amalan gaya hidup sihat. Masalah berkaitan sakit sendi dan arthritis pula boleh dialihkan atau dilengahkan daripada merebak dengan ubat-ubatan.

    Dr Rajbans turut mendedahkan, kini kajian saintifik menyeluruh dijalankan terhadap sel stem bagi menangguh atau melambatkan proses penuaan sel manusia secara semula jadi supaya mereka kekal kelihatan muda walaupun sudah berusia.

    Kajian menunjukkan, menjelang 2050 warga tua atau populasi kelabu ini dijangka mencecah dua bilion dan 80 peratus daripada jumlah itu tinggal di negara membangun. Ini membuktikan paras lanjut usia penduduk juga semakin panjang dengan 80 peratus kematian berlaku ketika usia mencecah lebih 60 tahun.

    “Sekiranya warga tua mampu mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan diri, mereka juga mampu memainkan peranan yang cukup efektif dalam membangunkan bangsa dan negara dengan berkongsi pengalaman, kepakaran, skil dan kebijaksanaan,” katanya.

    INFO: Petua kekal muda


  • Lakukan senaman ringan setiap hari bergantung pada tahap kesihatan, untuk kekal cergas dengan memastikan fizikal dan mental sihat dan mandiri. Individu yang tidak aktif lebih mudah mendapat penyakit jantung berbanding mereka yang aktif



  • Elakkan terjatuh kerana ia boleh menyebabkan kecederaan, retak dan maut. Keretakan akibat terjatuh biasanya menjejaskan bahagian punggung, pelvik, tulang belakang dan lengan



  • Makan makanan rendah lemak, diet tinggi serat dan pastikan pemakanan seimbang seperti buah, sayur, bijirin dan kekacang



  • Dapatkan nasihat doktor sebelum melakukan sebarang senaman, diet atau makanan tambahan



  • Minum banyak air, berhenti merokok dan elak atau kurangkan alkohol



  • Kekalkan harga diri - bawa diri anda dengan penuh keyakinan dengan gaya berpakaian menarik, gaya rambut, menjaga penampilan wajah dengan melakukan penjagaan dan rawatan muka



  • Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011

    Mitos bisul

    Elak makan lauk, telur lambatkan proses surut

    BISUL adalah masalah jangkitan biasa dialami setiap orang sama ada kanak-kanak atau orang dewasa. Jangkitan bermula apabila bakteria atau parasit pada kulit merebak ke lapisan dalaman kulit menyebabkan ia kemerahan, bengkak, berisi nanah dan menyakitkan. Jenis bakteria paling biasa menyebabkan bisul pada kulit dikenali sebagai Staphylococcus Aerues.
    Individu tertentu boleh mengalami masalah bisul atau jangkitan begini akibat diabetes, amino yang terjejas, HIV, tercedera serta imuniti yang rendah terutama pada kanak-kanak dan warga tua.
    Pakar Perunding Pembedahan Ortopedik, Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yong Chee Khuen, berkata biasanya bisul berlaku disebabkan kecederaan atau kemalangan yang tidak dirawat sempurna dengan kadar segera hingga menyebabkan terbentuknya ulser atau keradangan dalam kulit sehingga dijangkiti bakteria.

    “Sekiranya berlaku jangkitan peringkat awal, ia dipanggil cellulites - sifatnya merah, sakit dan panas. Jika di dalam kulit atau bisul, sifatnya akan terbentuk kumpulan nanah di dalam rongga manakala peringkat lebih serius dipanggil Necrotising facitis atau bakteria yang memakan isi," katanya kepada Berita Minggu.

    Simptom utama proses keradangan atau jangkitan adalah kemerahan, panas, bengkak dan rasa sakit. Ia bukan saja terbentuk pada sebarang tisu pejal pada permukaan kulit, malah sering juga berlaku pada organ dalaman seperti paru-paru, otak, buah pinggang dan tonsil.

    Sekiranya jangkitan berlaku sehingga terbentuk bisul, rawatan pilihan ialah pembedahan. Begitupun, sebelum pembedahan dijalankan, antibiotik akan diberi selain ujian darah bagi mengenal pasti masalah lain.
    Bagi kanak-kanak yang lebih gemar berdiam diri dan tidak tahu di mana lokasi jangkitan sebenar, imbasan MRI dan CT akan dijalankan.

    Bisul disebabkan amino yang terjejas pula mampu merebak melalui darah. Di sini darah berfungsi sebagai lebuh raya dan menyebarkan bakteria ke seluruh tubuh. Oleh itu, remaja yang tidak menjaga kebersihan diri pasti akan terkena jangkitan ini.

    Bagaimanapun, punca paling lazim adalah sifat kulit itu sendiri yang mudah terdedah kepada anasir yang tidak baik. Kulit bukan saja organ tubuh paling besar, malah berfungsi sebagai mekanisme pertahanan diri yang penting.

    Setiap inci kulit diseimbangkan dengan bakteria baik dan bakteria tidak baik. Bakteria baik tidak akan membawa sebarang masalah tetapi sebaik saja tubuh kekurangan imuniti atau ketahanan diri, kecederaan kecil saja sudah mampu menyebabkan jangkitan. Tidak dinafikan kebersihan diri cukup penting tetapi perlu diingat terlalu bersih juga tidak baik kerana kita akan membunuh kedua-dua bakteria ini.

    Jelas Dr Yong lagi, bisul yang biasa dan tidak serius boleh dirawat menggunakan antibiotik dan pembedahan. Tapi bagi bisul disebabkan amino yang terjejas, boleh merebak dengan cepat pada tisu dalam tubuh menyebabkan kegagalan beberapa organ dalaman. Dalam apa juga keadaan, pencegahan adalah perkara terbaik termasuk penjagaan kebersihan diri yang rapi dan imuniti diri lebih tinggi.

    “Sekiranya simptom awal seperti merah, bengkak, sakit dan demam berlaku, terus berjumpa doktor bagi mengelak jangkitan merebak lebih ke dalam kulit.

    “Di rumah, sebagai langkah awal ibu bapa boleh mencuci luka dengan menggunakan air panas, antiseptik dan iodin. Namun jika ia semakin membengkak, pesakit akan mula berasa tidak sihat, demam, luka menjadi kemerahan dan mula merebak, cepatlah berjumpa doktor,” katanya.

    Dari segi pemakanan, mengamalkan diet seimbang disarankan bagi mempercepatkan penyembuhan.

    “Terlalu banyak pantang larang dalam masyarakat seperti ayam, udang, ikan dan telur yang dipercayai menyebabkan kegatalan. Ironinya untuk sembuh, kita memerlukan hemoglobin, albumin serta Vitamin C dan semua nutrien ini terkandung dalam diet yang disebutkan itu.

    "Perlu diingat, bisul pada kebanyakan bahagian tubuh agak sukar untuk sembuh dengan sendirinya. Kerana itu, sekiranya tanda awal bisul muncul, rawatan perubatan segera perlu diberikan," katanya.


    Oleh Suzan Ahmad
    Sumber Berita Harian 2011